KUALA LUMPUR - Bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), Zamil Ibrahim menyerahkan borang pendaftaran keahlian untuk menyertai semula Umno selepas meninggalkan parti itu 20 tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan kembali kepada Umno bukan dibuat kerana mempunyai agenda politik peribadi.

Sebaliknya menurut Zamil yang juga bekas pemimpin parti PKR Kedah, tujuannya hanyalah untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

“Orang Melayu kini berada di persimpangan yang amat genting, oleh itu atas rasa tanggungjawab terhadap orang Melayu serta agama Islam maka perlu untuk saya dan rakan-rakan yang menyepi sebelum ini untuk bangkit bersama mempertahankan Melayu di bawah bumbung Umno.

“Sedikit pengalaman ketika saya bersama PKR dahulu di peringkat negeri Kedah mahupun di peringkat Pusat akan saya gunakan semasa berada dalam Umno selepas ini,” katanya dalam sidang media di Menara Datuk Onn di sini, hari ini.

Borang pendaftaran keahlian tersebut diserahkan kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Nor Adam.

Sementara itu, menurut Lokman, hasrat Zamil untuk kembali kepada Umno itu tentunya dialu-alukan dan borang pendaftaran keahliannya itu akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk dipertimbangkan.