PETALING JAYA – Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tidak akan bertanding kerusi Parlimen Pandan buat masa ini, sebaliknya lebih gemar menjadi ahli Parlimen biasa (backbencher) sahaja.

Beliau berkata, tidak berhasrat untuk memegang apa-apa jawatan tertinggi dalam Kabinet sebaliknya hanya ingin menjadi ahli Parlimen biasa sahaja.

Anwar bagaimanapun meminta masa dua bulan untuk berkunjung ke luar negara sebelum membuat keputusan kerusi Parlimen yang bakal ditandanginya.

“Tadi saya tanya ahli-ahli Parlimen PKR siapa nak tawarkan kerusi mereka kepada saya? Tapi tunggu lepas selesai lawatan ke luar negara baru bincang semula kerusi Parlimen mana saya nak bertanding, Insya-ALLAH kalau menang, saya nak jadi ‘backbencher’ dulu.

“Wan Azizah ada tawarkan kerusi Parlimen Pandan tapi saya rasa tidak praktikal sebab beliau perlu undur diri awal. Kalau saya tanding Pandan, Wan Azizah perlu letak jawatan, mana boleh beliau timbalan perdana menteri,” katanya ketika sidang media selepas memberi taklimat kepada wakil rakyat PKR, di sini, hari ini.

Menurutnya, adalah tidak praktikal untuk beliau berbuat demikian memandangkan Wan Azizah perlu berundur dari jawatannya terlalu awal.

Tambahan, beliau berkata selepas dibebaskan dari penjara baru-baru ini, beliau lebih selesa untuk menjadi sebagai ‘backbencher’.

"Bebas. Saya nak pergi round dulu, saya ada komitmen, mengajar dan kuliah, banyak di beberapa universiti, dalam dan luar negara, " katanya.

Rata-rata spekulasi mendakwa bahawa Dr Wan Azizah akan mengundurkan diri sebagai ahli Parlimen Pandan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil diadakan bagi memberi ruang kepada Anwar untuk bertanding.

Ditanya sama ada beliau akan sempat menyertai sesi pertama Dewan Rakyat yang akan bermula 17 Julai ini sebagai seorang ahli Parlimen, Anwar berkata, beliau akan mengambil masa lebih panjang untuk memenuhi komitmennya menyampaikan kuliah di beberapa negara.

"Slightly more than two months," katanya menambah bahawa setakat ini belum ada keputusan dibuat untuk beliau bertanding dimana-mana kerusi.

“Saya belum ada pengalaman untuk jadi ahli parlimen biasa. Saya tidak mahu ambil kesempatan atas penderitaan orang lain, sebab saya sudah cukup berpengalaman menderita,” ujarnya.