KUALA NERUS - Keputusan Pas memutuskan  tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR menunjukkan parti itu sedar bahawa ia mempunyai matlamat berbeza dengan parti pembangkang lain, kata Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata langkah Pas itu seharusnya menjadi iktibar kepada bekas pemimpin Umno yang berpaling tadah supaya meneliti semula keputusan mereka  untuk bersekongkol dengan pihak pembangkang bagi menjatuhkan BN dan Umno.

"Kita sedih sebab bekas pemimpin-pemimpin Umno bila dia marah pada (pemimpin ) Umno dia pergi pada seberang (pembangkang)....  (tindakan) ini akhirnya akan merosakkan Melayu dan Islam,"  katanya ketika berucap pada program Karnival Semarak Desa Daerah Kuala Nerus di Kampung Telaga Daing di sini, hari ini.

Majlis Syura Ulama Pas pada 11 Mei sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta.

Setiausaha majlis itu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dilaporkan berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara kedua-dua parti yang terjalin sejak sekian lama.

Sementara itu,  Ahmad Razif yang juga Menteri Besar  turut memuji tindakan pemimpin Pas yang kini dilihat semakin berminat untuk menjalin kerjasama dengan Umno terutama dalam agenda membangunkan Islam dan Melayu.

"Dah mula nampak bibit-bibit itu (kerjasama Pas dan Umno) di Terengganu apabila baru-baru ini Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan Exco negeri, A Latiff Awang dan Datuk Pehemi Yusoff  hadir (pada majlis)  meletakkan tukun di perairan Marang.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga berulang kali mempelawa pihak yang bersama dengan Islam termasuk Pas untuk bersama-sama dengan Umno melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin Islam di bumi ALLAH ini... kita nampak ia semakin membuahkan hasil," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.