'Ahli Pas perlu pilih parti utamakan Islam'

Takiyuddin Hasan
A
A

SHAH ALAM - Susulan keputusan Pas yang tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis, parti itu menyarankan agar ahlinya memilih parti yang boleh menjaga kepentingan Islam dan Melayu serta masa hadapan negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hasan berkata, pemilihan parti itu juga didasari dengan mengambil kira sikap Pas terhadap kerajaan baharu PH, sebagaimana sebelum PRU14 lalu.

Katanya lagi, pemilihan itu juga perlu didasari dengan semangat parti itu boleh menjadi pengimbang pada kerajaan Selangor.

"Suatu amalan demokrasi yang baik, memerlukan proses semak dan imbang dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, termasuklah kerajaan Selangor dengan kata lain peranan pembangkang adalah amat penting," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu menyentuh mengenai jentera Pas pada PRK Sungai Kandis, Takiyuddin berkata, Pas tidak akan menurunkan jenteranya.

"Namun seluruh jentera Pas akan terus bergerak sebagaimana biasa dalam mengukuhkan parti pasca PRU14 bagi membuat persiapan menghadapi PRU15," katanya.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.

PH meletakkan calon muka baharu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang merupakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat yang juga pengetua tafiz.

BN pula mengemukakan calon yang lantang mengkritik PH, Datuk Lokman Noor Adam melalui NGO Pemantau Malaysia Baharu. Calon Bebas pula ialah Murti Krishnasamy.

Pada PRU14 calon PKR, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiee memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga penjuru di PRK Sungai Kandis]

 

 


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×