KUALA LUMPUR - Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tempat pertama di negara ini dalam 'Ranking Web of Universities' (Webometrics Ranking), iaitu ranking laman web Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terbaru edisi Januari 2015.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, UPM sebelum ini berada pada tempat kedua dalam ranking itu bagi IPT dalam negara, dan ini merupakan kali kedua universiti itu berjaya mendapat tempat pertama selepas pada Januari 2012.

"UPM telah melonjakkan kedudukan dalam kalangan universiti dunia apabila berada di tangga ke-420, meningkat 90 anak tangga daripada tempat ke-510 sebelum ini dan berjaya melepasi kedudukan ke-1,000 terbaik dunia bermula 2009 hingga kini," menurut kenyataan UPM di sini hari ini.   

Menurut penarafan terbaru itu, UPM telah menduduki tangga ke-76 dalam kalangan negara Asia, sekali gus memperbaiki kedudukan 21 anak tangga daripada tempat ke-97 sebelum ini pada edisi Julai 2014.

"Ranking itu memberi penilaian kepada lebih 20,000 IPT di seluruh dunia termasuk 89 dari Malaysia (20 awam dan 69 swasta)," katanya.

Universiti Sains Malaysia (USM) berada pada kedudukan kedua di Malaysia, dan tangga ke-480 dunia, diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga ke-552, Universiti Malaya (UM) di tangga ke-646 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-815 dunia. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.