IPOH - [DIKEMASKINI] Keputusan untuk menutup pusat Tahfiz Al Quran Al Barakah iaitu satu daripada tiga unit yang beroperasi di bawah pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah akan ditangguhkan dahulu, sementara menunggu hasil perbincangan dengan beberapa pihak termasuk kerajaan negeri.

Penceramah bebas terkemuka yang juga Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias berkata, pihaknya telah menerima maklum balas daripada beberapa agensi, yayasan dan badan korporat yang menyatakan kesediaan untuk membantu pengoperasian pusat tahfiz itu yang kini menempatkan 100 pelajar termasuk 25 pelajar perempuan.

Menurutnya, sekiranya perbincangan berkenaan mencapai kata positif, pusat tahfiz yang dibangunkan sejak 2010 itu akan diteruskan seperti biasa di bawah pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sabarlah...kata Ustaz Kazim]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kompleks Al Barakah untuk dijual? ]

[ARTIKEL BERKAITAN: Jual Kompleks Darul Barakah keputusan menyedihkan]

“Sebenarnya sebelum mengiklankan penjualan unit ini, saya telahpun bertemu tiga pengusaha maahad tahfiz dengan harapan pusat ini dapat diambil alih tanpa perlu ditutup, namun mereka tiada kemampuan dan menolak tawaran itu.

“Saya tak sangka iklan penjualan itu akan tular seperti ini dan kerana itu juga ada beberapa pihak termasuk kerajaan negeri menghubungi saya dengan hasrat untuk membantu.

“Jadi buat masa sekarang, unit tahfiz ini tidak akan ditutup dan saya akan umumkan kemudian selepas perbincangan nanti, mudah-mudahan pusat tahfiz ini dapat diselamatkan dengan sokongan orang ramai,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pengumuman penjualan unit tahfiz dengan harga RM5 juta di laman mudah.my itu mengejutkan ramai pihak dan antara alasan diberikan sudah tidak mampu

menampung kos pentadbiran keseluruhan yang mencecah RM150,000 sebulan.

Pusat Pendidikan Al Barakah yang beroperasi sejak 2006 terbahagi kepada tiga unit iaitu pondok pengajian dewasa yang diikuti hampir 400 pelajar, Unit Tahfiz Al Quran Al Barakah serta Tadika Nurul Barakah.

Bagaimanapun Mohd Kazim menjelaskan, perancangan penjualan dan penutupan itu hanya melibatkan unit tahfiz dan bukan keseluruhan operasi.

Katanya, pusat tahfiz itu selama ini beroperasi hasil sumbangan orang ramai, penjualan produk seperti buku juga pendapatan daripada ceramah dan kuliah.

Bagaimanapun tindakan penganjur sejak berakhirnya musim pilihan raya, yang membatalkan ceramah dan kuliah pada saat akhir meskipun telah diatur lebih awal memberi kebimbangan akan keupayaan pusat pendidikan itu untuk terus menampung kos diperlukan.

“Apabila timbul beberapa insiden tak menyenangkan antaranya, seolah terdapat usaha menyekat dakwah, saya melihat perkara ini begitu mengecewakan, membuatkan saya down pada beberapa minggu lepas.

“Bukan satu dua ceramah dibatalkan...banyak, kadang saya dah sampai highway secara tiba-tiba maklum batal, sudah confirm jam 9 pagi, jam 12 telefon kata batal, jadi apa sebenarnya yang nak dilakukan dengan dakwah ini.

“Jika keadaan ini berterusan, saya bimbang unit tahfiz akan hadapi masalah dari sudut pembiayaannya, kerana itu saya bersama jawatankuasa mengambil keputusan untuk mengeluarkan iklan dengan harapan ada pihak yang berminat untuk meneruskan pengajian di maahad ini,” katanya.

Beliau berkata, hanya selepas tiada jalan penyelesaian berhubung isu itu, barulah keputusan menutup unit tahfiz diteruskan dan diganti dengan perancangan lain seperti penubuhan Akademi Daie yang tidak memerlukan kos pembiayaan tinggi.