[VIDEO] Jangan buat spekulasi nahas helikopter TLDM

A
A
A

JOHOR BAHRU - Orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi berhubung tragedi nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di Lumut 23 April lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak perlu menunggu laporan terhadap siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.

Malah katanya, laporan berkenaan dilihat penting susulan siasatan yang dibuat adalah berdasarkan kepada fakta-fakta yang diperoleh.

Mohamed Khaled. Foto Bernama
Mohamed Khaled. Foto Bernama

"Kita ada laporan dan siasatan dalam bentuk jawatankuasa supaya rumusannya betul-betul berlandaskan fakta.

"Rumusan itu juga bukannya andaian... kerana ia sangat penting supaya dapat jaga dan seterusnya memelihara perjalanan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Bekas Wakil Rakyat Negeri Johor dan Veteran UMNO Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Sabtu.
Mohamed Khaled beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Bekas Wakil Rakyat Negeri Johor dan Veteran UMNO Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Sabtu.

Mohamed Khalid berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Johor dan Veteran UMNO Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor pada Sabtu.

Untuk rekod, dua helikopter jenis Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM telah bertembung ketika menyertai formasi penerbangan pada raptai bersempena sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90.

Pertembungan itu turut mengakibatkan kesemua 10 kru melibatkan pegawai dan anggota TLDM terkorban.

Sementara itu, Mohamed Khaled juga tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat pakar luar negara bagi membantu siasatan insiden tersebut.

Bagaimanapun katanya, jawatankuasa siasatan yang dibentuk tetap diberikan kepercayaan penuh bagi menyiapkan laporan berhubung tragedi tersebut.

"Kita (Kementerian Pertahanan) akan merujuk kepada pihak yang berkenaan sekiranya terdapat keperluan untuk kita gunakan khidmat pihak luar, bagi menyiasat nahas tersebut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!