PM Anwar rasmi Taman Rekreasi Madani Woodlands

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Taman Rekreasi Madani Woodlands di Ipoh, Perak pada Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Taman Rekreasi Madani Woodlands di Ipoh, Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu merasmikan Taman Rekreasi Madani Woodlands di sini bagi kemudahan rekreasi dan riadah orang ramai.

Taman rekreasi berkeluasan 1.1 hektar itu merupakan kawasan lapang yang siap dinaik taraf pada Januari lepas dengan kemudahan antaranya taman permainan kanak-kanak, gelanggang serba guna dan trek larian melibatkan kos hampir RM500,000.

Pembangunan kawasan berkenaan mengekalkan pokok-pokok matang sedia ada bagi membentuk persekitaran hijau dan mampan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Mansor Mohamad berkata, pembangunan enam lokasi Taman Rekreasi Madani di Perak sedang dalam peringkat perolehan manakala enam lagi dalam proses pemilihan tapak.

"Ia menyediakan kemudahan rekreasi untuk semua golongan dari kanak-kanak hingga ke orang tua seperti padang dan stesen kecergasan serta diharapkan masyarakat boleh membudayakan hidup sihat dalam konsep Taman Rekreasi Madani," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

Terdahulu Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan cek peruntukan RM11 juta bagi pelaksanaan projek-projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di negeri Perak tahun ini.

Cek peruntukan itu disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!