KUALA LUMPUR - Barisan Peguam Umno kini berusaha mendapatkan maklumat terperinci berhubung serbuan polis terhadap tanah yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei dan Jun lalu.

Meskipun pihak berkuasa yakin rampasan tersebut ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun Umno merasakan wang berjumlah RM 116.7 juta yang turut dirampas adalah milik parti itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan peguam Umno, mereka memberikan tempoh tujuh hari kepada polis untuk menyerahkan dokumen diminta.

"Dengan arahan anak guam kami (Umno), hari ini kami menghantar surat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meminta maklumat dan dokumen berkaitan rampasan wang kira-kira RM 116.7 juta seperti didakwa PDRM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno lantik peguam tuntut wang disita]

[ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dikaitkan dengan Najib diserbu polis]

"Kami telah memberikan tempoh yang wajar iaitu selama tujuh hari kepada PRDM untuk menyerahkan dokumen diminta kepada kami.

"Anak guam kami menegaskan sebahagian besar wang yang dirampas adalah milik Umno dan tiada sebarang kaitan dengan kes 1MDB atau SRC," memetik kenyataan tersebut.

Pada Mei dan Jun lalu, polis melakukan beberapa siri serbuan di rumah Najib di Jalan Langgak Duta dan beberapa unit kondominium di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Pelbagai barangan termasuk barang kemas, beg berjenama dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM 116.7 juta dirampas dalam serbuan itu.