KUALA LUMPUR – Ukraine, sebuah negara Eropah Timur, berminat untuk berkongsi kepakarannya dalam teknologi aeroangkasa dan kejuruteraan pesawat dengan Malaysia, kata duta negara itu,  Olexander Nechytaylo.

Perkongsian kepakaran bukan sahaja akan menyediakan pendidikan kepada rakyat Malaysia melalui pemindahan teknologi, Malaysia akan mampu membangunkan industri aeroangkasanya.

"Ukraine memiliki kepakaran dan kejuruteraan aeroangkasa dan kami boleh membantu Malaysia membangunkan industri udaranya sendiri," kata Nechytaylo kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Katanya, Ukraine mempunyai pengalaman dalam bidang kejuruteraan pesawat selama bertahun-tahun dan Igor Sikorsky, pencipta helikopter terkemuka dunia, berasal dari negara itu.

Sikorsky berjaya membangunkan helikopter pertama pada 1939 dan telah mendapat banyak pengiktirafan serta membuat pencapaian dalam kejuruteraan termasuk reka bentuk pesawat.

Selain itu, pesawat terbesar di dunia, Antonov An-225 Mriya yang telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada April lepas, merupakan contoh kepimpinan Ukraine dalam teknologi aeroangkasa dan pembinaan pesawat.

Antonov An-225 Mriya mendarat di sini dalam penerbangan komersil pertama ke Malaysia selepas menjalani proses naik taraf selama lebih setahun. Pesawat kargo komersil gergasi Ukraine itu pernah membuat dua pendaratan di Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 2007 dan 2016.

Malaysia merupakan hentian ketiganya, selepas Leipzig di Jerman dan Dammam, Arab Saudi untuk menghantar kargo berat.

Selain itu, Nechytaylo berkata, bidang lain juga berpotensi untuk mewujudkan kerjasama antara Ukraine dan Malaysia seperti pendidikan, pertukaran budaya, pelancongan dan peningkatan hubungan perdagangan.

"Pelancongan juga menjanjikan potensi yang besar. Tahun lepas, lebih daripada 13,000 pelancong Ukraine melawat Malaysia atau kira-kira 1,000 orang setiap bulan. Ini merupakan angka yang baik memandangkan jarak kedua-dua negara yang agak jauh termasuk ketiadaan perkhidmatan penerbangan terus. Sekarang ini, tugas saya adalah untuk mencetuskan minat rakyat Malaysia melawat Ukraine," katanya.

Kedutaan beliau juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa agensi pelancongan Malaysia dan berharap pada tahun depan, agensi pelancongan tempatan dapat memulakan pakej pelancongan ke Ukraine.

"Tidak ramai yang tahu kedudukan geografi Ukraine. Selalunya, orang berfikir, Ukraine terletak berhampiran dengan Kazakhstan atau Uzbekistan. Sebenarnya, Ukraine adalah pusat geografi Eropah. Kiev, sebagai ibu negara hanya terletak sejauh sejam penerbangan dari Vienna di Austria, tiga jam dari London dan dua jam penerbangan dari Amsterdam. Jika di bahagian Asia, Kiev ke Kazakhstan hanya mengambil masa selama empat jam," jelasnya.

Ukraine, yang memiliki garis pantai di Laut Hitam dan Laut Azov, berkongsi sempadan dengan Rusia, Belarus, Poland, Slovakia, Hungary, Romania dan Moldova di sebelah barat daya.

Nechytaylo ketika mengulas mengenai perdagangan dua hala, berkata sejak dua tahun lepas, ia mula menunjukkan pengembangan dan Ukraine sedang berusaha untuk membawa masuk sayur-sayuran dan buah-buahan negara itu ke dalam pasaran Malaysia.

"Ukraine kekal menjadi salah satu pengguna utama minyak sawit Malaysia. Kami bukan anggota penuh Kesatuan Eropah, oleh itu, arahan Suruhanjaya Eropah mengenai minyak sawit tidak memberi kesan ke atas Ukraine. Kami tetap komited untuk mengimport komoditi penting ini dari Malaysia," katanya.

Import minyak sawit Ukraine pada tahun ini mencecah lebih daripada 130,000 tan dalam tempoh lapan bulan pertama, iaitu peningkatan sebanyak lebih daripada 10 peratus. Ia adalah rekod pembelian tertinggi oleh Ukraine.

Nechytaylo berkata, walaupun Malaysia sedang berusaha bagi meningkatkan kesedaran untuk memastikan kemampanan dan pembangunan ladang kelapa sawit yang lebih bertanggungjawab, persepsi negatif mengenai minyak sawit telah wujud selama bertahun-tahun dan ia tidak mudah untuk ditangani.

Bagaimanapun, beliau menambah, langkah terbaik ialah terus konsisten dalam memberikan maklumat yang tepat kepada orang ramai. - Bernama