[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan 'drastik' membatalkan tempahan auditorium dua hari sebelum Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa berlangsung, menyebabkan pihak penganjurnya berhadapan dengan dilema mencari lokasi baru.

Sumber urus setia konvensyen memberitahu Sinar Harian Online lewat malam ini bahawa pihaknya terkilan dengan keputusan itu kerana pembatalan hanya dimaklumkan oleh pengurusan UIAM sekitar 9 malam tadi.

"Kami sudah menempah tempat persidangan hampir dua bulan lalu. Tetapi tinggal dua hari, baru malam ini, kami dimaklumkan.

"Jadi kami agak terkilan dengan keputusan... nampaknya kami perlu mencari tempat lain yang sesuai, untuk menampung 800 peserta," kata sumber itu lagi.

Sinar Harian Online akan berusaha mendapatkan respons pihak pengurusan UIAM.

Keputusan pembatalan itu juga dikongsi beberapa pihak menerusi laman mikro Twitter sejak jam 10malam tadi.

Sumber itu menambah, alasan yang diberikan ialah penganjuran konvensyen ini, yang dijangka disertai oleh pembentang kertas kerja dari parti politik kerajaan yang memerintah dan pembangkang, bercanggah dengan semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Konvensyen sehari itu, anjuran bersama K-Fiqh Sdn Bhd dan , Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid), diadakan untuk mengupas isu-isu berkaitan politik menurut fiqh dan pandangan masa kini. Ia antara lain menghimpunkan  bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan  pensyarah UIAM, Dr Maszlee Malik.

Penganjur sebelum ini berkata, konvensyen julung kali diadakan ini, yang menyentuh politik tanah air, akan membincangkan kaedah pentadbiran dalam pemerintahan Islam dengan mengetengahkan konsep wasathiyah.

Menurutnya, sambutan sangat menggalakkan dan sehingga kini 800 peserta sudah sahkan kehadiran.

“Isu pilihan raya sememangnya isu hangat di dalam negara. Pihak kami menerima respons menggalakkan, sehingga masih ramai yang bertanyakan tempat dan kira-kira 200 orang lagi untuk senarai menunggu,” katanya.

Berdasarkan maklumat awal itu, forum di sebelah malam konvensyen tersebut, wakil pemimpin parti politik akan  turut sama dalam forum bertajuk, Negara Berkebajikan: Analisa, Realiti dan Praktikaliti.

Antaranya, Timbalan Menteri Pelajaran dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Puad Zarkashi; Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli serta ahli akademik, Prof Datuk Dr Mohammad Bakar.

Puad, Dzulkefly dan Rafizi masing-masing dari Umno, Pas dan PKR.

Mengulas lanjut, sumber penganjur berkata, pihaknya akan meneruskan konvensyen sebagaimana telah dirancang.

"Oleh kerana sudah 800 orang mengesahkan kehadiran, maka kami perlu mencari lokasi yang sesuai untuk menampung mereka," kata beliau.

UIAM pernah membatalkan program yang sepatutnya dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah awal tahun ini atas alasan Auku.

Ketika itu kerajaan memulakan kajian untuk meminda Auku.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.