ALOR SETAR - Pimpinan PH diingatkan supaya komited berkhidmat kepada rakyat sebagai mengisi kemenangan PRU14 lalu.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia juga sebagai membalas jasa rakyat yang memberi kemenangan kepada PH menerajui negara.

Menurutnya, keberanian luar biasa rakyat itu harus dibalas dengan memenuhi janji serta menyelesaikan permasalahan dibangkitkan rakyat.

“Kita harus hargai jasa rakyat yang melakukan perubahan luar biasa itu, caranya adalah dengan berkhidmat kepada rakyat. Rakyat harus dapat penghargaan itu sebab dalam senyap mereka terkesan dengan kempen PRU kita, dan beranikan diri mengundi calon PH,” katanya, ketika berucap pada Konvensyen Kepimpinan PH Kedah, di Seri Mentaloon, hari ini.

Mukhriz juga mahu rakyat menegur kerajaan PH sekiranya terdapat kepincangan dilakukan kepimpinannya.

“Kami buka ruang kepada rakyat tegurlah jika ada kepincangan, dengan itu barulah Kedah aman makmur. Tegur mana yang tak betul, kita cuba atasinya. Mahu jatuhkan kerajaan yang lama bertapak bukan enteng, selepas dapat amanah, hargailah kemenangan kita,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu juga membuktikan empat parti bawah PH berjaya ketepikan perbezaan dan bersatu hati sebagai satu pasukan.

“Ini antara asas untuk diwarisi pimpinan pelapis, kita akan didik mereka dan belajar daripada pengalaman lalu serta tunjukkan contoh terbaik. Jangan ulangi kesilapan pemerintahan lalu,” katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan PH juga harus komited mengelak terjebak rasuah dan kleptokrasi seperti diamalkan kerajaan terdahulu.

“Apa yang kita warisi setelah ambil alih daripada BN, semua tahu kerajaan kleptokrat bukan sahaja berlaku di peringkat Pusat, malah Kedah. Perbelanjaan yang dibuat ada yang tidak diperlukan, dibelanja pada harga tinggi sehingga kerajaan negeri terbeban. Ini termasuk kontrak konsesi ditandatangani kerajaan BN terdahulu yang tidak untungkan Kedah, antaranya bekalan air,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha menangani kemelut bekalan air di Kedah dengan kerjasama kerajaan Pusat, walaupun ia bukan semudah disangka.

“Kita akan usahakan, mohon rakyat bersabar. Banyak perlu mohon ehsan Pusat kerana kita bukan negeri kaya. Namun beberapa projek yang tinggi keutamaannya akan disegerakan tanpa pinggirkan projek yang disenaraikan sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, ini termasuk projek menaik taraf bekalan air Kedah yang akan diurus secara berhemah tanpa perbelanjaan tidak sepatutnya termasuk menerusi tender terbuka.

“Hebahkan kepada rakyat maklumat tepat tentang Kedah termasuk perancangan,  sampaikan maklumat daripada kerajaan kepada akar umbi mengikut saluran betul,” katanya.

Mukhriz berkata, peluang pekerjaan kepada rakyat juga akan diusahakan menerusi pelaburan baharu.

“Kita mahu angkat martabat warga Kedah, dengan pendapatan yang meningkat agar dapat kawal kos sara hidup. Setakat ini usaha tarik pelabur lancar, pelaburan pertama diusahakan kerajaan PH Kedah adalah dari China sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.

Menurutnya, isu perumahan rakyat juga akan diberi tumpuan agar menepati permintaan rakyat.

“Rumah mampu milik dan kos rendah ada keperluan dan permintaan, masalah bekalan dan permintaan tidak seimbang di mana banyak rumah mahal tetapi tidak mampu dibeli. Kita akan perhalusi perkara ini,” katanya.