KUALA LUMPUR - Tanah-tanah adat dan rizab Melayu telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tidak boleh diusik, digugat atau dijual.

Ahli Exco Ikatan Arkeologi Malaysia, Zahara Sulaiman berkata, hari ini baki tanah rizab Melayu semakin susut jumlahnya dan sebanyak 50 peratus daripada 12 juta hektar kini berbaki empat juta hektar sahaja.

"Di situ, kita kena lihat keprihatinan kerajaan sama ada mereka dapat meneruskan amanah yang diberi kepada mereka berdasarkan perlembagaan yang ada.

"Kerajaan tak boleh jual tanah rizab Melayu. Ada kes-kes tanah rizab seperti di Amerika dan Afrika diangkat tinggi dan tidak boleh diusik, tapi di Malaysia, banyak dijual kepada bangsa asing untuk pembangunan," katanya dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tanah yang dimajukan oleh kerajaan dilihat dikongsi kepada orang lain seperti 'tanah kita adalah tanah dia, tanah dia adalah tanah dia' dan itu yang berlaku hari ini.

Katanya, jika di Kuala Lumpur, yang tinggal hanya sedikit sahaja iaitu di Kampung Baru dan beberapa lokasi lain seperti Bukit Kiara dan Kayu Ara dan itu adalah kawasan yang sedang rancak membangun yang diusahakan oleh bangsa asing, sama seperti tanah di Datuk Keramat yang dijual kepada pihak luar.

"Jika kita tidak berbuat apa-apa, tanah rizab Melayu ini akhirnya hanya akan tinggal kenangan sahaja," katanya.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan tidak memulangkan semula tanah rizab ini, kita boleh buat sesuatu yang boleh menekan kerajaan supaya kerajaan memulangkan semula tanah kerana itu adalah satu amanah yang ditulis dalam perlembagaan yang tidak boleh diusik, dijual atau dibangunkan.

Malah, kalau dibangunkan sekali pun, ia perlu dijual kepada orang Melayu juga dan maknanya pegangan ke atas tanah rizab itu tidak akan hilang ke bangsa lain.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan memulangkan semula tanah rizab dalam masa dua tahun, meminta kerajaan negeri diberi kuasa untuk merampas semula tanah rizab Melayu yang dikenal pasti. Selain itu, kerajaan harus memberi bajet dalam memelayukan tanah rizab lain, memulangkan tanah rizab Melayu dengan tanah yang sama nilainya.

"Kerajaan wajib berhenti 'targetting' tanah rizab Melayu, tiba masanya untuk kerajaan membangunkan tanah-tanah swasta," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Tanah rizab Melayu di seluruh negara dianggarkan seluas empat juta hektar sehingga Oktober tahun lepas, meningkat sebanyak 10 peratus daripada 2008.
  • SHAH ALAM - Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menzahirkan rasa bimbangnya mengenai tanah rizab Melayu yang saban tahun makin mengecil, dek kerana kelalian pemerintah dalam menjaga hal ini.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak supaya mengisytiharkan tanah-tanah milik kerajaan yang masih ada di Kuala Lumpur termasuk kuarters tinggalan dijadikan sebagai tanah rizab Melayu.
  • SHAH ALAM - Kerajaan perlu dihukum pada PRU14 akan datang sekiranya masih gagal menyelesaikan masalah Tanah Rizab Melayu (TRM).