LEBIH 200 tahun kebelakangan ini, kemajuan yang dikecapi oleh manusia jauh melebihi  pembangunan yang dilalui manusia sejak ribuan tahun lalu. Setiap masa berlalu, kemajuan yang dihasilkan semakin pantas. Kini, kita berada dipermulaan Revolusi Perindustian Keempat yang akan mengubah cara manusia hidup dan bekerja.

Kita masih tidak tahu bagaimana kesudahannya, tetapi apa yang pasti kita harus bertindak dengan cara komprehensif, melibatkan semua pihak seluruh dunia, dari sektor awam dan swasta kepada akademik serta masyarakat keseluruhannya. Pada revolusi keempat ini, ramai pakar melihat tugas hakiki manusia akan digantikan oleh tenaga robotik,  jutaan manusia hilang kerja terutamanya di sektor pengilangan.

Justeru itu, semua pihak perlu bersedia dengan reskill supaya pekerja-pekerja ini terus memberi sumbangan. Berdasarkan sejarah, Malaysia dan negara-negara Asean sebelum ini bersandarkan kepada pekerja berkemahiran rendah dan murah sebagai tarikan pasaran mereka. Menyebabkan Asean terdedah kepada pengangguran jika segalanya bertukar kepada automatik pada revolusi perindustrian keempat.

Hari ini, kita sudah melihat penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam banyak sektor. Malah AI digunakan dalam ketenteraan dan perubatan. Seperti revolusi perindustrian sebelumnya, revolusi kali ini sudah pasti mempunyai halangan dan peluang. Siapakah yang bakal menerima manfaat terbanyak kali ini? Adakah Malaysia akan ke depan atau ketinggalan seperti revolusi sebelumnya? Ikuti laporan SOROT mengenai Revolusi Perindustrian Keempat.

Revolusi industri lebarkan jurang kaya, miskin

Pakar ekonomi menjangkakan impak paling nyata daripada ledakan revolusi industri keempat ini ialah kesan pelebaran jurang kekayaan dan pendapatan antara penduduk.

Prof Emeritus, Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) berkata, Revolusi Industri 4.0 ini menekankan kepada keupayaan melabur dan pemilikan teknologi.

“Siapa yang mempunyai teknologi dan mampu melabur akan menjadi sangat berjaya malah berupaya menggandakan kekayaannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Barjoyai, kumpulan menengah rendah akan menjadi kumpulan paling terjejas kerana secara perlahan menjadi kelompok yang tidak diperlukan dalam ekonomi.

“Kumpulan menengah rendah ini lebih mudah diganti dengan robot dan sistem kerana mereka tidak mempunyai ‘tacit knowledge’ yang boleh ditawarkan kepada majikan dan ekonomi secara keseluruhannya. Jadi kelompok ini akhirnya terpinggir dalam ekonomi.

“Bagaimanapun kumpulan berpendapatan rendah meskipun statusnya sama dengan kumpulan berpendapatan sederhana tetap mempunyai beberapa perbezaan positif.

“Kumpulan ini akan terus mendapat simpati kerajaan dan industri. Mereka juga dianggap agak murah dan masih boleh diambil bekerja bagi mengisi kekosongan yang boleh dilakukan  manusia. Mereka masih diperlukan untuk pekerjaan yang tidak dapat  dilakukan robot. Robot tidak boleh kutip sampah atau cuci tandas dengan baik,” katanya.

Menurutnya, dunia akan lebih dikuasai oleh kapitalis seperti yang dianggarkan oleh Oxfam, pada 2016, 64 jutawan terkaya dunia memiliki kekayaan dan pendapatan bersamaan 50 peratus penduduk dunia kerana dunia kini ada hampir 770 juta orang berpendapatan kurang daripada AS$2 (RM8.9) sehari. Statistik bagi Malaysia adalah sama secara relatif iaitu 40,000 keluarga menguasai hampir 90 peratus kekayaan dalam ekonomi negara.

Katanya, jurang pendapatan akan semakin lebar merentasi benua, kelas, gender dan bidang pekerjaan. Ia termasuk aspek materialisme selain terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan. Ekonomi akan dikuasai kaum kapitalis yang dominan dan berkuasa dalam menentukan sistem ekonomi.

“Jika dinilai dari perspektif bukan materialisme, situasi ekonomi ini akan dilihat seperti tidak berperi kemanusiaan dan dipacu oleh sikap tamak haloba. Nilai, prinsip dan etika positif akan semakin terhakis dan diketepikan.

"Malah keadilan sosial, pengagihan ekuiti, pembasmian kemiskinan dan kehidupan berjiran akan menjadi pudar.Dimensi akhlak dan adab akan pudar oleh kerakusan, pemborosan, rasuah, ketirisan dan juga monopoli,” ujarnya.

Sejarah revolusi perindustrian

Perkembangan dunia kini menuju ke arah ‘penghancuran cara lama’ (destructive ideas and practices) sehingga sesuatu pembaharuan tidak dianggap pembaharuan kecuali ia menghancurkan kaedah lama, kata Dr Barjoyai.

Katanya, sesuatu idea baharu berkaitan pengeluaran dan perkhidmatan tidak dianggap berjaya kecuali ia dapat menghancurkan cara kehidupan lama. Golongan remaja dan usahawan baharu amat taksub kepada prospek perubahan drastik yang akan mengubah cara hidup, persekitaran dalam alam maya.

Menurutnya, proses awal perindustrian menekankan kepada penghasilan tenaga bagi membantu urusan pengeluaran untuk membolehkan industri mengeluarkan sebanyak mungkin produk pada kos yang paling rendah.

“Revolusi industri pertama berasaskan wap dan tenaga air, ini diikuti revolusi kedua yang memperbaiki sumber tenaga menggunakan kuasa elektrik yang lebih murah dan cekap.

“Di akhir revolusi kedua menekankan penggunaan kuasa elektrik bagi pengeluaran secara terlambak, negara maju mula melihat kesan negatif kuasa elektrik, wap, minyak dan juga tenaga nuklear. Mereka mula melihat industri sebagai sesuatu yang kotor dan menghancurkan alam semula jadi.

“Ketika itu mereka tekad mengubah strategi untuk tidak lagi menjadi negara industri tetapi fokus kepada usaha menjadi negara maju tanpa industri pengeluaran. Mereka mengatur strategi untuk memindahkan kilang-kilang kotor  ke negara membangun baharu yang memerlukan aktiviti ekonomi untuk memacu ekonomi.

“Maka tumbuhlah negara membangun yang menekan sektor pengeluaran tidak mengira kos dan kesan. China ialah mangsa utama dalam strategi ini menjadikannya lokasi pengeluaran terbesar di dunia tetapi negara paling tercemar persekitarannya,” jelasnya.

Selain itu katanya, revolusi industri ketiga sebagai persimpangan baharu dalam perkembangan industri yang bermula akhir 60an. Negara maju menumpukan perhatian untuk mengisi lompang yang dikosongkan oleh sistem pengeluaran dan perkilangan bidang besar yang dipindahkan secara cepat ke negara sedang membangun.

“Pada awalnya ia diisi dengan pengenalan teknologi maklumat yang berasaskan kepada kuasa komputer bagi menolong aktiviti ekonomi menghasilkan barang dan perkhidmatan yang jauh lebih murah disebabkan kesan automasi.

“Komputer dan internet menjadi tema utama revolusi ini meskipun dipanggil revolusi industri namun ini ialah revolusi baharu sistem ekonomi maklumat. Penciptaan jaringan internet pada pertengahan 90an menjadi tonggak perubahan dalam revolusi ketiga ini menerusi perkembangan sistem satelit dan jaringan perhubungan telefon, fiber optik  dan juga teknologi tanpa wayar,” katanya.

Adakah Malaysia sudah bersedia?

Menurutnya, dari aspek persediaan kemahiran, Malaysia mungkin masih terkebelakang. Malaysia kini hanya ada 15,000 lulusan PhD berbanding lebih 500,000 pelajar universiti. Sebuah syarikat di Korea Selatan ada 176,000 penyelidik yang khusus terlibat dalam  usaha penyelidikan perkembangan industri ini.

"Namun bukan semuanya negatif dan pudar, penghijrahan sistem ekonomi ke alam maya telah membuka peluang untuk setiap  keluarga di Malaysia merancang menjadi keluarga berdikari (soveriegn family).

"Kita boleh wujudkan Rancangan Malaysia khusus untuk 30 tahun ke hadapan sempena Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi memperincikan bagaimana kita akan memanfaatkan perkembangan revolusi ini  dalam mengatur ekonomi, perindustrian, perdagangan dan cara kehidupan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya menyusahkan rakyat, demikian menurut Penganalisis Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari.
  • KUALA LUMPUR - Peserta Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 hari ini bersetuju sebulat suara ekonomi bumiputera terus ditambah baik kerajaan sebagai persediaan kepada kelangsungan kumpulan itu dalam persekitaran ekonomi global.
  • BENTONG - Bagi memastikan peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan di negara ini sentiasa relevan, kerajaan akan menyemak semula Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi bersedia berhadapan dengan cabaran isu kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.
  • SHAH ALAM - Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization (Merhrom) tidak meletakkan harapan terhadap kerajaan Mynmar yang ingin mengambil langkah menyelasaikan krisis Rohingya di Wilayah Arakan.
  • SHAH ALAM - Program Pertanian Bandar merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi menggalakkan amalan pertanian di kawasan perumahan bandar sekaligus dapat mendatangkan pendapatan sampingan kepada rakyat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.