Airbus labur dalam simulator helikopter ketiga di Subang

Pengeluar pesawat, Airbus merancang untuk melabur dalam simulator penerbangan helikopter ketiganya di Subang, Selangor, dengan operasi dijangka bermula menjelang 2026. Foto Bernama
Pengeluar pesawat, Airbus merancang untuk melabur dalam simulator penerbangan helikopter ketiganya di Subang, Selangor, dengan operasi dijangka bermula menjelang 2026. Foto Bernama
A
A
A

PENGELUAR pesawat, Airbus merancang untuk melabur dalam simulator penerbangan helikopter ketiganya di Subang, Selangor, dengan operasi dijangka bermula menjelang 2026.

Ketua Wakil Malaysia, Burhanudin Noordin Ali berkata, simulator itu akan digunakan untuk helikopter H175.

Sekarang ini terdapat dua simulator bagi helikopter H225 serta AS365, kata Burhanudin Noordin kepada media sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 hari ini.

Pusat Simulasi Airbus Helicopters Malaysia, sebuah usaha sama dengan Boustead Heavy Industries Corporation terletak di Subang.

Presiden Airbus Asia-Pasifik, Anand Stanley berkata, H225M akan menjadi kemuncak utama DSA dan NATSEC tahun ini.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan salah satu operator global H225M. Sebanyak 12 H225M berada dalam perkhidmatan TUDM untuk fungsi ketenteraan dan kemanusiaan.

"Kami mahu memastikan Malaysia terus mendapat akses kepada produk tercanggih dan terbaik dalam kelas daripada Airbus,” katanya.

Airbus melalui satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa Malaysia adalah pasaran penting untuk helikopter tentera, pertahanan dan perniagaan angkasa lepas selain menyatakan komitmennya bagi mengukuhkan kehadiran firma aeroangkasa itu di sini.

Artikel Berkaitan:

"Airbus telah membangunkan kerjasama industri yang meluas serta kukuh yang telah membawa pelbagai manfaat kepada ekonomi penduduk tempatan," katanya, sambil menambah bahawa ia ingin memperdalamkan perkongsian dan pelaburan sedia ada dalam ekosistem domestik.

Ia juga melihat potensi permintaan serantau untuk peningkatan keupayaan termasuk pembaharuan dalam pengangkutan ketenteraan.

"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan Malaysia armada gabungan A400M-C295 yang mantap bagi menyokong keperluan strategik dan taktikal negara," kata kenyataan itu.

Airbus kini mempunyai lebih 800 kakitangan di Malaysia dan menyokong lebih 4,000 peluang pekerjaan dalam rantaian bekalan dalam negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!