Persidangan ketua-ketua agama tiada agenda pluralisme - Mohd Na'im

Mohd Na'im. Foto Bernama
Mohd Na'im. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menafikan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 esok ada kaitan dengan agenda pluralisme agama.

Mohd Na’im menjelaskan, persidangan berkenaan tidak akan menyentuh soal akidah sebaliknya lebih tertumpu kepada usaha membangun tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, mengubah konflik kepada persefahaman serta menangani ancaman pemikiran ekstremis.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan tohmahan sesetengah pihak kononnya persidangan antarabangsa bertemakan 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian' berkenaan ada agenda pluralisme agama pada majlis bersama media di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan persidangan itu esok yang akan turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, Persidangan Majlis Ulama Asia akan berlangsung pada Rabu di Mandarin Oriental di ibu negara.

Kedua-dua acara itu dianjurkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama MWL. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: