Kerajaan AS tidak terlibat dalam pemilihan vendor NATSEC

Kagan. Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Kagan. Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai peranan dalam menentukan mana-mana syarikat untuk disenaraikan sebagai vendor pada Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Memetik laporan The Star, Duta Besar AS di Malaysia, Edgard D Kagan berkata, tidak ada komunikasi rasmi daripada mereka yang membantah penyertaan syarikat yang dituduh menyokong genosid di Gaza.

“Pameran itu mempunyai reputasi global dan ia terkenal sebagai pertunjukan serius yang menghimpunkan pemain global yang kritikal.

"Ini (menentukan siapa yang mengambil bahagian) adalah sesuatu yang kerajaan AS tidak terlibat. Ini (penyertaan) adalah sesuatu yang atas jemputan Malaysia," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Biro Antarabangsa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendesak kerajaan supaya mengharamkan penglibatan dua syarikat yang bersubahat dengan Israel, Lockheed Martin dan BAE daripada menyertai dan menjadi penaja platinum NATSEC Asia 2024 di Kuala Lumpur.

Menurut Saifuddin, dua syarikat tersebut membekal senjata dan peralatan kepada Israel yang sedang melakukan genosid ke atas Palestin, terutamanya di Gaza.

Mengulas lanjut, Kagan berkata, pihak yang membantah tidak menghubungi pihak kedutaan secara langsung.

"Saya juga perasan bahawa bukan hanya syarikat Amerika yang mereka kritik. Kritikan mereka juga ditujukan kepada pelbagai syarikat antarabangsa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!