PUTRAJAYA - Gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan  Malaysia (PPPM) 2013- 2025 melakukan perubahan kepada landskap pendidikan negara.

Ketua Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu), Khadijah Abdullah berkata, ia dilakukan menerusi tiga keberhasilan utama.

“Perubahan tersebut merangkumi penguasaan Literasi dan Numerasi (Linus) dalam kalangan murid, peningkatan enrolmen prasekolah dan sekolah rendah serta merapatkan jurang murid luar bandar dan bandar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pengurusan Program Unit Padu, Radzifuddin Nordin.

Menurutnya, semasa gelombang pertama, Padu berjaya mencapai sasaran sebanyak 86 peratus.

“Statistik tersebut menunjukkan kejayaan kita. Peratusan selebihnya yang belum dicapai dibawa ke gelombang kedua untuk diteruskan perlaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 20 inisiatif utama gelombang kedua PPPM akan diteruskan bagi memacu peningkatan sistem pendidikan negara.

“Antaranya pengukuhan perpaduan di sekolah, Pembudayaan Kemahiran Berfikir Dalam Pembelajaran Abad Ke-21 dan Pengukuhan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Khatijah berkata, penerimaan Anugerah Pengurusan Projek (APM) Mike Nichols kategori Aspirasi 2017 oleh Padu pada November lalu menjadi bukti pelaksanaan pelan pendidikan berada di landasan yang betul.

“Anugerah ini menjadi kebanggaan seluruh warga Kementerian Pendidikan khususnya guru yang mengajar di lebih 10,000 sekolah seluruh negara.

“Antara pesaing bagi anugerah ini adalah syarikat multinasional global seperti Royal Dutch Shell Plc, Kumpulan Perbankan Lyoyds, Roll-Royce, BAE System dan Fujitsu,” katanya.

Menurutnya, Padu  bertujuan menyokong kementerian dalam pelaksanaan PPPM diiktiraf  kesan transformasi Pelan Pendidikan ke atas sistem pendidikan nasional.

“Pemilihan Padu sebagai pemenang kerana pengiktirafan yang diberikan untuk visi, inovasi dan diakui dalam menyampaikan transformasi dalam pendidikan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, ramai wakil negara luar datang ke Malaysia untuk melihat pelaksanaan PPPM.

“Afghanistan, Bhutan, Thailand, Myanmar, Pakistan antara negara yang tertarik dengan PPPM,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan, pengurangan peruntukan pendidikan tinggi dalam Bajet 2017, adalah selaras dengan perancangan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025.
  • TANJUNG MALIM - Isu kualiti guru perlu ditangani sekiranya matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang meletakkan sasaran negara berada dalam kelompok satu pertiga teratas sistem pendidikan terbaik dunia ingin dicapai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  • KUALA LUMPUR - Tempoh 13 tahun akan datang bakal menyaksikan kelahiran modal insan negara yang lebih unggul dan berpengetahuan tinggi seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan tetap bertegas untuk meneruskan segala perakuan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.