SHAH ALAM - Pesalah rogol terutama perogol kanak-kanak adalah kasta paling bawah bila dipenjarakan.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada cara mereka sendiri dalam menyiasat kes-kes membabitkan pesalah rogol.

“Katakanlah ada lelaki ini dituduh kerana merogol, apa akan jadi seterusnya? Adakah polis akan terus tangkap?

“Sistematiknya, polis akan menyiasat yang mana mangsa ini akan dibawa ke hospital terlebih dahulu untuk ujian klinikal. Di situ akan diketahui sama ada terdapat kesan koyakkan atau kemasukan dan sebagainya sebelum suspek ini dikesan lalu ditangkap,” katanya dalam wacana siri ke-51 bertajuk : Perogol Dalam Rumah!, di Kompleks Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemudian, suspek akan dihantar untuk jalani ujian forensik dan setelah disabit salah kerana jenayah itu, suspek akan dipenjarakan.

“Di sini, pesalah perogol terutama perogol kanak-kanak, saya boleh katakan adalah kasta paling bawah dalam kategori mereka yang dipenjarakan berbanding jenayah-jenayah lain,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wacana Sinar Harian ‘Perogol Dalam Rumah’]

Jelasnya, jenayah khususnya rogol ini ‘unik’ kerana ada persediaan dan perancangan untuk melakukan tindakan tersebut.

“Bila dia (suspek) kata nak rogol, maka akan jadi kes itu,” katanya.