KOTA BHARU - Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) menafikan terlibat dengan sebarang bentuk penganjuran atau menghadiri perhimpunan 12 Pengetua Madrasah Tahfiz di sini, semalam.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang surat rasmi permohonan untuk penganjuran perhimpunan tersebut dan tidak mengeluarkan surat membenarkan perhimpunan tersebut menggunakan nama Permata Al-Quran.

"Kami menafikan sekeras-kerasnyanya penglibatan Permata Al-Quran di dalam perhimpunan tersebut.

"Kami juga menafikan Ya'akub Wan Harun sebagai Pemangku Presiden Sekolah-Sekolah Tahfiz Malaysia (Permata)  seperti yang didakwa di dalam laporan Bernama. Beliau hanya ahli biasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kira-kira 12 pengetua sekolah tahfiz di Kelantan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap peruntukan diagihkan oleh kerajaan kepada 28 institusi pengajian tahfiz, baru-baru ini.

Mereka mendakwa 12 pusat tahfiz hanya menerima RM15,000 manakala 16 pusat tahfiz lagi diberikan RM100,000.

Mengulas lanjut mengenainya, Manolito berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Ya'akub kerana menggunakan nama persatuan secara salah dan tidak beretika.

"Perbuatan ini boleh menyebabkan kekeliruan kepada ahli dan menjejaskan hubungan baik Permata Al-Quran dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kami adalah persatuan yang mendahulukan perbincangan dan sentiasa menjaga hubungan dengan semua pihak," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bantah agihan peruntukan pusat tahfiz tidak adil]

[ARTIKEL BERKAITAN: Jakim perjelas dakwaan agihan peruntukan tidak adil]

Artikel berkaitan yang patut anda baca :