KUALA TERENGGANU - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan khas untuk menjawab isu berkaitan halal yang tular di media sosial dalam tempoh hanya empat jam selepas tersebar.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pasukan itu diletakkan di bawah Seksyen Komunikasi Korporat dan tim Media Baharu Bahagian Hab Halal, Jakim dan mula beroperasi sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, pasukan itu telah ditubuhkan sejak tahun 2014 tetapi ketika itu lebih kepada latihan untuk memahirkan mereka menangani isu halal yang tular di laman sosial.

“Bermula awal tahun lepas, pasukan ini aktif dalam menjawab isu-isu yang tular dan kita letakkan KPI mereka untuk menjawab segala isu yang berbangkit dalam tempoh empat jam.

“Antara kejayaan pantas pasukan ini ialah menangani satu kes yang mana ia mula tular pada jam 6.30 petang dan berjaya diselesaikan pada jam lapan malam. Kes ini tentang aduan yang mengatakan pengadu memohon sijil halal tapi mendakwa orang Jakim minta duit.

“Kita segera menghubungi pihak berkenaan dan kemudiannya dia buang kenyataan yang ditularkan itu kerana tersilap,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Forum Bisnes Halal Kebangsaan (NHBF) 2017 di Hotel Primula di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong dan turut dihadiri Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee serta Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu, Ir Mohd Azmi Ali.

Jelasnya, setiap jawapan bagi isu yang tular akan disiarkan di laman Facebook Bahagian Hab Halal Jakim dan pihaknya akan turut membalas jawab dengan memberikan maklumat terkini walaupun ia isu berulang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak Jakim akan mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membangunkan aplikasi SmartHalal bagi memberi maklumat kepada pengguna mengenai produk halal di pasaran.

Dengan aplikasi ini, pengguna hanya perlu taip sahaja jenama produk dan SmartHalal akan memaklumkan sama ada produk terbabit mendapat sijil halal atau tidak.

Aplikasi ini boleh dimuat turun pengguna Android di Google Playstore.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa seluruh masyarakat agar tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba untuk mempertikaikan peranan dan kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
  • MELAKA - Rakyat Malaysia perlu menghentikan penyebaran berita palsu melalui laman sosial, yang berbaur fitnah dan berbentuk hasutan demi menjaga keharmonian negara, kata bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam.
  • SHAH ALAM - "Alhamdulillah. Kami telah menemui jalan penyelesaian," demikian respons Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof selepas berakhirnya pertemuannya dengan Usahawan Kosmetik Nur Sajat sekitar tiga petang tadi.
  • KUALA LUMPUR - Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) menggesa supaya Kementerian Pelancongan dan Kubudayaan serta Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) mengambil tindakan tegas terhadap Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berikutan daripada isu tudung yang dibangkitkan sebelum ini.