KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pembantunya membuat laporan polis ke atas dirinya berhubung beberapa kes pembunuhan.

Menurutnya, laporan itu bertujuan supaya polis menyiasat semula sekiranya beliau terlibat dalam semua pembunuhan termasuk Teoh Beng Hock, Altantuya, Kevin Morais dan Hussain Najadi.

“Esok, saya akan meminta pembantu saya untuk membuat laporan polis terhadap saya supaya pihak polis di bawah kerajaan PH boleh menyiasat semula jika saya terlibat dalam semua kes-kes pembunuhan ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, sebentar tadi.

Sebelum ini, beliau menyatakan keengganan PH untuk menjalankan siasatan khas walaupun telah didesak jelas membuktikan dirinya langsung tidak terlibat dalam kematian empat individu tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Najib sekali lagi mendesak agar siasatan khas dibuka terhadap kesemua kes tersebut.

“Hari ini Lim Kit Siang (pemimpin veteran DAP) keluarkan kenyataan lagi mendakwa saya yang berbohong. Kit Siang berpusing pusing cuba mengelirukan penyokongnya kononnya saya menulis Kit Siang pernah berkata tiada keperluan untuk kes-kes itu disiasat lagi, walhal saya sendiri berulang kali mahukan kes itu disiasat semula memandangkan PH kini adalah kerajaan.

“Untuk kali kelima, saya mendesak Kit Siang untuk memenuhi apa yang beliau mahu minggu lalu iaitu membuka siasatan khas untuk kesemua kes-kes ini tetapi saya rasa ini membuang masa sahaja untuk melayan dia,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kit Siang bersih nama Najib?]

[ARTIKEL BERKAITAN: Apa lagi yang Kit Siang mahu?]