PUTRAJAYA - Malaysia dan China hari ini memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama penyelidikan biobahan api berasaskan sawit selain kajian mengenai getah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke China sejak Jumaat, serta rakan sejawatnya dari negara itu, Li Keqiang menyaksikan majlis pemeteraian berkenaan di Great Hall of the People di Beijing.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Industri Utama berkata persetujuan kerjasama penyelidikan dan pembangunan penggunaan biobahan api berasaskan sawit turut membabitkan kajian teknikal kesesuaian dan impak biobahan api sawit terhadap kenderaan, industri dan alam sekitar.

“Biobahan api berasaskan sawit menawarkan potensi besar sumber atau tenaga baharu boleh diperbaharui yang mesra alam dan lestari. Ini amat bertepatan dengan Dasar Tenaga Hijau China yang menyasarkan 15 peratus penggunaan bahan api bukan fosil menjelang 2020.

“China turut menyasarkan untuk mencapai pengeluaran dua juta tan biobahan api menjelang 2020 di bawah Pelan Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui Jangka Pertengahan-Panjang yang diumumkan pada Ogos 2007,” kata kenyataan itu.

MoU membabitkan biobahan api berasaskan sawit itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr Ahmad Kushairi Din dan Naib Presiden Universiti Tsinghua Prof Yang Bin.

"Perjanjian itu dijangka memperkukuhkan lagi kerjasama penyelidikan dan perdagangan dalam bidang biobahan api berasaskan sawit,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian, MoU penyelidikan getah pula akan meninjau kemungkinan kerjasama termasuk dalam teknologi jalan raya getah bitumen, usaha menoreh getah secara automasi dan (penghasilan) getah khusus selain menggalakkan perkongsian ilmu dan kerjasama penyelidikan dalam kalangan penyelidik.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Datuk Dr Zairossani Mohd Nor bersama wakil Biro Perladangan Negeri Hainan yang juga biro di bawah Kerajaan Wilayah Hainan dan Hainan State Farms Investment Holdings Group Co Ltd. -Bernama