SHAH ALAM - Mahkamah Agung Arab Saudi memutuskan insiden kren runtuh yang berlaku di Mekah pada 2015 bukan disebabkan kecuaian manusia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Lembaga Tabung Haji menerusi laporan media tempatan Saudi Gazzette mengenai keputusan tersebut.

Menerusi laporan media itu juga dinyatakan, syarikat pembinaan terlibat tidak perlu membayar sebarang diyyah (ganti rugi) kepada waris yang terkorban.

"Kerajaan menerusi Tabung Haji akan mendapatkan kenyataan rasmi berhubung keputusan tersebut.

"Setelah itu, perkara ini akan dimaklumkan kepada keluarga waris," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian kren runtuh di Masjidilharam, Mekah telah mengorbankan tujuh jemaah haji Malaysia dan 12 lagi cedera.