KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menyasarkan 75 peratus murid berkeperluan khas (MBK) di seluruh negara untuk mengikuti Program Pendidikan Inklusif (PPI) bersama pelajar arus perdana pada 2023.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata PPI akan diadakan dua tahun lebih awal daripada sasaran seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Kementerian memberi fokus kepada pendidikan inklusif yang mana MBK belajar bersama-sama murid arus perdana dalam satu kelas yang sama selaras dengan penekanan kepada aspek kasih sayang (love), kegembiraan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect)," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) mengenai usaha kerajaan membantu kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang semakin bertambah di kawasan Padang Serai serta usaha membina sekolah khas untuk anak-anak OKU.

Maszlee berkata kementerian merancang untuk membuka dua Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) baharu di Padang Serai iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Karangan dan SMK Datuk Lela Pahlawan mengikut keperluan dan perluasan penempatan MBK.  

Katanya bagi kawasan Parlimen Padang Serai, jumlah MBK adalah seramai 896 orang yang melibatkan 471 orang MBK sekolah rendah dan 425 pelajar MBK sekolah menengah. - Bernama