KUANTAN - Hasrat penjawat awam bekerja di rumah bakal jadi kenyataan menjelang 2050.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, perkara itu mungkin direalisasikan, seiring Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berkemungkinan akan mengubah struktur perkhidmatan penjawat awam.

Menurutnya, menerusi pelan tersebut, ia pasti akan memberi kebebasan kepada mereka bekerja di rumah atau pejabat.

“Kita cuba realisasikan dan laksanakan perkara ini seperti diminta golongan wanita selepas penelitian cadangan tersebut dilakukan dengan melihat sektor pekerjaan bersesuaian.

“Saya yakin bila tiba masanya, bukan sahaja wanita, malah lelaki pun boleh bekerja dari rumah,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Dialog TN50 Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail yang bertindak sebagai moderator.

Seramai 2,500 penjawat awam seluruh negeri ini hadir pada majlis tersebut, yang pertama kali dianjurkan di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Ali berkata, demografi masyarakat dijangka berubah menjelang 2050 termasuk warga emas sebanyak 23 peratus.

“Bukan sahaja soal bekerja dari rumah, gaji penjawat awam juga antara yang tertinggi dalam negara berbanding sektor lain,” katanya.

Menurutnya, aspirasi berbentuk futuristik yang disampaikan penjawat awam muda dilihat membantu menyediakan pelan TN50 lebih jitu.

“Futuristik yang dimaksudkan ialah perubahan dalam pelbagai aspek yang mereka ingin lihat dan dinikmati generasi pelapis akan datang.

“Idea dan saranan sepanjang sesi dialog ini akan diklusterkan untuk mengeluarkan dokumen TN50,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.