SHAH ALAM - Kehadiran semula Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menerajui  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan kerajaan mengiktiraf beliau sebagai seorang pegawai  berintegriti.

Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Seri Zakaria Jaffar berkata, selain berintegriti, Mohd Shukri tiada tolok bandingnya dengan individu lain yang sesuai dengan jawatan tersebut.  

“Kembalinya Mohd Shukri menandakan integriti dan ketelusan beliau oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakyat Malaysia tidak ada tolok bandingnya.

“Kepercayaan negara terhadap Mohd Shukri bagai menatang minyak yang penuh. Sokongan tidak berbelah bahagi. Tahniah dan selamat kembali Mohd Shukri,” katanya yang menyambut baik pelantikan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Kerajaan memutuskan melantik Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang melepaskan jawatan nombor satu berkenaan.

Mahathir berkata, Mohd Shukri yang juga bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dipilih kerana pengalamannya, selain sikapnya yang dilihat menentang tindakan salah  dilakukan SPRM.

Pada 14 Mei lalu, Dzulkifli dilaporkan memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan SPRM berkuat kuasa serta merta dan kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara bermula Selasa.

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.