KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji cadangan pembinaan semula jambatan bengkok menghubungkan Johor dan Singapura yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pada masa ini, pihaknya sedang menunggu laporan hasil kajian berkenaan.

"Kita tak boleh kata ia okay atau tidak okay (dilaksanakan). Saya rasa setiap projek, kita perlu melakukan kajian kebolehlaksanaan dan kemudian kita akan buat keputusan dari situ.

"Memandangkan kajian sedang berjalan, jadi saya rasa kita tunggu dulu (hasil kajian) ia siap dan mencadangkan langkah seterusnya," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Menteri Hal Eh­wal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kementeriannya perlu meneliti kertas kerja cada­ngan me­neruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

Katanya, hal ini kerana pada ketika ini kerajaan memberi keutamaan kepada projek-projek infrastruktur yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Johor perlukan jambatan ketiga tapi tak semestinya... ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Jambatan bengkok impian Dr Mahathir akan jadi kenyataan ]

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Ilham pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Bagaimanapun, projek itu dibatalkan pada 2006 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.