KUALA LUMPUR - Hungary berharap dapat memeterai beberapa perjanjian kerjasama dengan Malaysia tahun depan, sempena hubungan diplomatik selama 50 tahun kedua-dua negara.

Duta Besar Hungary ke Malaysia, Attila Kali berkata kerjasama dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi serta pertanian antara yang diintai Budapest.

"Kami rasa dengan menandatangani perjanjian dapat memberi peluang dan menjadi platform tambahan kepada sektor swasta dan institusi penyelidikan bekerjasama.

"Platform disediakan sementara kerajaan menetapkan kerangka kerjasama itu," katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Kali berkata sempena sambutan ulang tahun itu, kedutaannya juga merancang menganjurkan acara kebudayaan dan menggalakkan program pendidikan selain  berharap lawatan politik (rasmi) membuahkan hasil.

Justeru, katanya sesuatu yang simbolik dan peristiwa penting jika kesepakatan dapat dimeterai menjelang tahun depan.

"Harapan terbesar saya adalah menjadikan kerjasama ekonomi satu kenyataan kerana ia dapat mewujudkan kerangka kerja dalam hubungan perdagangan dan pelaburan.

"Dalam kerjasama pertanian, kami merancang menubuhkan suruhanjaya bersama untuk pakar kedua-dua negara berbincang dan pemindahan teknologi dapat dilakukan, selain berkongsi pengalaman dalam bidang berbeza serta mewujudkan teknologi inovatif dan penyelesaian terkini," jelasnya.

Menurut Kali, kerjasama ekonomi telah dimulakan Hungary beberapa tahun lalu bagaimanapun rundingan dihentikan kemudian disambung semula dan ketika ini ia hampir selesai.

"Diharapkan perjanjian dapat dimuktamadkan dan seterusnya ditandatangani," katanya.

Ujar beliau,  penekanan diberikan dalam kerjasama ekonomi, terutamanya di bidang yang mempunyai nilai tambah selari dengan komitmen Malaysia mempercepatkan pembangunan Industri 4.0.

Tambahnya, kedua-dua negara boleh bekerjasama seiring komitmen itu, memandangkan sains dan teknologi di Hungary satu sektor paling maju di negara di samping rakyatnya yang kreatif.

Mengenai kerjasama pendidikan, Kali berkata kerajaannya turut berharap dapat meningkatkan program biasiswa dan 40 kuota dapat diisi tahun depan.

Pada Februari tahun ini, Malaysia dan Hungary menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pendidikan tinggi, di mana Kerajaan Hungary menawarkan 40 biasiswa kepada rakyat Malaysia. Kumpulan pertama 15 pelajar Malaysia telah menerima biasiswa itu.

Hubungan diplomatik Hungary-Malaysia terjalin sejak 1969, Kedutaan Malaysia di Budapest diwujudkan pada 1993.

Walaupun penutupan Kedutaan Hungary di Malaysia pada 2009 disebabkan krisis ekonomi, hubungan diteruskan melalui Kedutaan Hungary di Indonesia. Pada 2015 kedutaan Hungary dibuka semula. - Bernama