SHAH ALAM - Hampir 40 peratus guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negara ini bakal ditapis sebelum diserapkan ke dalam jawatan tetap sebagai penjawat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya sememangnya berhasrat untuk meningkatkan status kira-kira 36,000 guru Kafa kepada jawatan tetap sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun menurutnya, langkah berkenaan tentunya mengambil masa dan tidak boleh dilakukan secara automatik tanpa sebarang tapisan.

"Kita terpaksa melihat dulu dia (guru Kafa) punya prestasi... kelayakannya dan hasrat itu telah dinyatakan oleh timbalan saya (Timbalan Menteri di JPM, Fuziah Salleh).

"Kita harap hujung tahun ini kita sudah punya kaedah bagaimana untuk diserapkan guru Kafa ini ke dalam jawatan tetap. Kita anggarkan dalam 30 peratus ke 40 peratus guru Kafa terpaksa kita tapis lagi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440 Hijrah Peringkat MPP Zon 2 di Madrasah Hidayah Seksyen 11, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Mujahid berkata, tapisan berkenaan harus dilaksanakan berikutan terdapat maklum balas yang diterima oleh jabatan guru Kafa tidak menunjukkan prestasi baik.

Malah menurutnya, terdapat juga guru Kafa yang dilantik melalui politik dan peranan guru Kafa berkenaan perlu dilihat kembali.

"Kita nak guru Kafa ini mesti ada standart kalau nak serapkan mereka ke jawatan tetap. Malah sumbangan besar kerajaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agak besar melibatkan 72 peratus peruntukan jakim," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kaji naik taraf status guru Kafa]

Cadangan melantik kira-kira 36,000 guru Kafa itu dikemukakan di Parlimen pada Ogos lalu dan Jakim selaku penyelaras Kafa, diberi tanggungjawab melaksanakan kajian terbabit, yang dijangka mengambil tempoh setahun.

Pertimbangan kajian berkenaan kini dalam peringkat kajian dan dibuat dalam usaha nembela kebajikan guru Kafa.

[ARTIKEL BERKAITAN: 36,000 guru Kafa bakal diserap jawatan tetap]