KUALA LUMPUR - Garis panduan penuh mengenai rangka kerja pembiayaan rakan sebaya (P2P) untuk pemilikan hartanah akan diumumkan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk membuka pemilikan rumah bagi rakyat Malaysia dengan melihat cara untuk memudahkan syarat pembiayaan.

"Apa-apa yang baru pasti mempunyai butiran yang perlu ditangani. Pada masa ini, kita belum dapat menyelesaikan mekanisme penuh.

"Berikan satu atau dua minggu lagi, kami akan keluarkan garis panduan penuh yang memberikan kriteria bagaimana orang ramai akan layak untuk itu," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak LEAP 2018 di sini hari ini.

Menurut laporan, Persatuan Pembeli Rumah (HBA) baru-baru ini mengkritik langkah itu, dengan mengatakan bahawa masalah sebenar adalah harga rumah yang tinggi dan bukan pilihan pembiayaan.

HBA melahirkan kebimbangan mengenai spekulasi hartanah, penipuan hartanah dan hutang lapuk yang semakin meningkat, dengan menyatakan kerajaan akan menyediakan pembeli dengan akses nilai kredit yang lemah kepada "kredit mudah" dengan skim P2P.

Persatuan itu juga menegaskan bahawa kerajaan tidak jelas sama ada inisiatif pendanaan awam, yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 minggu lepas, adalah untuk hartanah yang sedang dalam pembinaan atau unit siap dibina.

Raja Kamarul Bahrin berkata, skim P2P adalah kaedah yang kerajaan bersedia mempertimbangkan untuk meningkatkan pemilikan rumah.

"Kami menghargai keprihatinan itu kerana apa-apa perkara yang baru sudah pasti akan diberi penelitian.  Ini adalah apa yang kami ingin teroka untuk membuka pemilikan rumah kepada mereka yang memerlukan.

"Walaupun untuk skim pinjaman konvensional, bank-bank biasanya sangat konservatif, terutama apabila ekonomi tidak sebaik dulu, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah mula menjadikan bank lebih terbuka. Mereka sanggup menerima pemohon dengan dua pekerjaan dan pendapatan yang diluluskan," katanya.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, kementerian sedang mengkaji empat bandar raya yang akan diubah menjadi bandar raya pintar iaitu Kuala Lumpur, Kuching, Johor Bahru dan Kota Kinabalu

Menurutnya, inisiatif bandar raya pintar telah diusahakan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk mewujudkan model yang mampan untuk bandar raya dan mengekalkan kualiti hidup untuk warganya.

"Apabila kita telah menetapkan garis sasaran yang perlu kita capai, kita akan berkembang ke bandar raya lain di Semenanjung dan Malaysia Timur," katanya. – Bernama