BAGAN DATUK - Bagan Datuk adalah kawasan paling hujung di sebelah selatan Perak, selain menjadi pengakhiran bagi hilir Sungai Perak.

Sebelum ini Bagan Datuk terletak di Daerah Hilir Perak dengan pentadbiran pihak berkuasa tempatan adalah Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Diisytiharkan sebagai daerah penuh pada 9 Januari 2017 oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Bagan Datuk kini adalah daerah ke-12 dalam negeri Perak selepas Mualim.

Dikenali sebagai pengeluar kelapa terbesar di Perak, Bagan Datuk kini mengorak langkah lebih jauh apabila pelbagai pembangunan sedang rancak berjalan selepas Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dari segi sejarah, Bagan Datuk dibuka sekitar 1880 dan tempat asalnya bukanlah di pekan Bagan Datuk sekarang, tetapi sekitar kunci air Batu 2 1/2, di Kampung Pasang Api.

Malah pekan Bagan Datuk sekarang dahulunya dikenali sebagai Sungai Keling atau Pekan Baru oleh masyarakat tempatan, dipercayai dibuka pada 1896 dan ia banyak dipengaruhi oleh aktiviti awal Inggeris yang membuka estet kelapa.

Bagan Datuk dahulunya dieja sebagai Bagan Datok oleh masyarakat tempatan, namun nama tersebut berubah menjadi Datoh apabila sebuah syarikat perladangan milik Inggeris membuka sebuah estet pada 1896.

Pewartaan Bagan Datuk sebagai daerah dibuat pada 15 Jun 2016 dengan keluasan 94,969.892 hektar.

Daerah baharu ini merangkumi empat mukim iaitu Teluk Bharu, Hutan Melintang, Rungkup dan Bagan Datuk dengan jumlah penduduk seramai 70,300 orang.

Aktiviti ekonomi penduduk di Bagan Datuk melibatkan pertanian, perikanan pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana.

Perak pada asalnya mempunyai sembilan daerah iaitu Kinta, Hilir Perak, Perak Tengah, Batang Padang, Kuala Kangsar, Larut Matang Selama, Hulu Perak, Manjung dan Kerian.

Daerah Kampar diisytiharkan sebagai daerah ke-10 pada 21 Mei 2009 diikuti daerah Mualim sebagai daerah ke-11 pada 11 Januari 2016 dan Bagan Datuk daerah ke-12.