SHAH ALAM - Sistem pendidikan percuma dan penawaran peluang pekerjaan yang lebih luas merupakan antara aspirasi mahasiswa dalam siri Dialog Transformasi Nasional (TN50) bersama penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi.

Mahasiswa Fakulti Undang-undang UiTM, Siti Nur Atikah Syed Ahmadi ketika mengutarakan perkara itu berkata, pendidikan percuma secara keseluruhan akan membuka ruang kepada semua golongan untuk menjadi rakyat terdidik dan mengelak keciciran.

"Aspirasi saya adalah supaya pendidikan percuma terutamanya peringkat pengajian tinggi dapat ditawarkan menjelang tahun 2050 seperti yang dilaksana di luar negara dan selepas itu kerajaan sediakan juga peluang pekerjaan yang bersesuaian.

"Seperti diluar negara, apabila semua berpendidikan dan bekerja, mereka akan dikenakan cukai sewajarnya sebagai penghargaan kepada jasa kerajaan," katanya semasa Dialog TN50 yang dihadiri kira-kira 1,200 penuntut UiTM Shah Alam di sini malam tadi.

Sesi dialog itu diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Kimia UiTM, Siti Noormalis Ahmad Fuzi pula menyatakan aspirasinya kepada kerajaan untuk meningkatkan kadar kelajuan Internet di seluruh negara sepertimana yang dicapai di negara-negara maju.

Antara aspirasi lain yang diajukannya ialah taraf hidup yang tinggi, kemudahan pengangkutan awam dan tahap keselamatan awam. 

Dalam pada itu, Nancy berkata, aspirasi yang disentuh kumpulan penuntut itu mencakupi pelbagai bidang namun ada antaranya mampu dicapai sebelum TN50.

"Ada menyatakan aspirasi mereka supaya kerajaan menambah baik sistem pelupusan sampah untuk menyumbang kepada sumber tenaga boleh diperbaharui selain pendidikan yang lebih holistik.

"Perkara-perkara ini kita kumpul dan akan diperhalusi. Yang mana boleh diusahakan, kita laksanakan sejajar dengan kehendak TN50," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog itu.

Beliau berkata lebih 30,000 aspirasi telah dikumpul melalui beberapa siri dialog yang diadakan di seluruh negara setakat ini melibatkan pelbagai golongan sasar. - Bernama

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi antara negara liga atasan dunia (premier league) dan bukan lagi negara di liga bawahan apabila semua yang dirancang dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) berjaya dilaksanakan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mempelawa penggiat industri di Perak untuk mengambil bahagian dalam sesi dialog TN50 di Ipoh pada Isnin.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan telah berjaya mendekati lebih 1.5 juta belia di seluruh negara menerusi dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) sejak ia diperkenal Januari lalu, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
  • KUANTAN - Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hadir berkongsi pentas bagi mendengar serta berkongsi aspirasi bersama anak muda sempena Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, di sini, malam ini.
  • KUALA LUMPUR - Prinsip perjuangan yang dipegang Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn ketika memimpin negara masih relevan untuk diguna pakai dalam pembangunan negara selaras dengan ​​​​Transformasi Nasional 2050 (TN50).