IPOH - Keadaan Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan dilaporkan semakin stabil, namun perlu menjalani pembedahan segera bagi mengeluarkan darah beku di bahagian kanan kepala.

Perkara itu dimaklumkan isterinya, Maizul Rosmawati Meor Ibrahim, 40, ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), petang tadi.

Maizul berkata, perkembangan lanjut keadaan suaminya hanya dapat diketahui sebaik pembedahan berkenaan selesai.

Katanya, hasil pemeriksaan awal kemungkinan suaminya mengalami hipertensi yang menyebabkan tekanan darah tinggi naik mendadak hingga mencecah bacaan 200 mmHG.

“Alhamdulillah, selepas terima rawatan, bacaan makin menurun dan dia sekarang diletakkan dalam keadaan tidak sedar untuk dapatkan rehat secukupnya,” katanya.

Beliau mengakui, jadual kerja suaminya agak padat, namun kesibukan itu berganda menjelang pilihan raya ini.

“Malam tadi ustaz pulang agak lewat dalam jam 1 pagi selepas menyampaikan kuliah magrib di Padang Rengas (Kuala Kangsar) kemudian menghadiri mesyuarat pula di Kampung Masjid Tinggi (Bagan Serai).

“Kebetulan dua tiga hari ini, ustaz ada mengadu sakit kepala dan belakang, keadaannya juga nampak letih, mungkin itu satu faktor kepada kejadian hari ini. Apa-pun saya bersyukur, keadaannya semakin stabil,” katanya.

Pada jam 11.30 pagi tadi, Mohd Zawawi, 41, ditemui rebah di bilik mandi kediamannya di Kampung Tebuk Panchur, beliau yang mengalami muntah-muntah kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping sebelum dirujuk ke HRPB.

Pada PRU13 lalu, Mohd Zawawi menang dengan majoriti 1,405 undi menewaskan calon BN, Zulkarnain Ismail dan calon Bebas, Halidi Wahab.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria meminta semua cawangan Pas di negeri ini mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan selawat tafrijiyyah bagi  memohon kesembuhan Mohd Zawawi.

“Di awal kunjungan saya petang tadi, Mohd Zawawi ada menunjukkan respon, tetapi doktor suruh beliau berehat,” katanya.

Menurutnya, selain Mohd Zawawi, Bendahari Ulama Pas Perak, Muhammad Sufi Mohd Yusof juga menerima rawatan lanjut di Hospital Pakar KPJ Ipoh sejak seminggu lalu selepas dilaporkan tidak sedarkan diri.

“Bila dah dekat pilihan raya ni, semua wakil rakyat dan pimpinan akan all out dan kerja keras bagi penuhi jemputan dan sebagainya. Apa pun kita doakan kedua-dua pimpinan Pas ini kembali sihat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Bayaran pertama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dibayar mulai Isnin ini.
  • PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dengan kerjasama badan korporat meningkatkan kempen keselamatan di laut.
  • JOHOR BAHRU - Prestasi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang berjaya merekodkan peningkatan keuntungan pada tahun lalu menunjukkan perniagaan itu dapat diuruskan dengan baik selaras dengan fungsi penubuhannya.
  • SHAH ALAM - Baucar KFC bernilai RM10 menanti pengunjung bertuah yang mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf Awal Tahun 2018, semalam dan hari ini.
  • BACHOK - Malaysia tidak akan muflis hanya jika dengan tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang mengenai ekonomi negara ini.