Syor pemain upah pengawal peribadi

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Hamidin
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Hamidin
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mencadangkan mana-mana pemain yang berkemampuan supaya mengambil pengawal peribadi sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti yang menimpa Faisal Halim daripada berulang.

Beliau berkata, pemain bola sepak kini menjadi tumpuan umum dan turut berdepan dengan bahaya yang tidak dijangka.

“Kalau pemain ada duit, mereka boleh ambil pengawal peribadi seperti pemain luar negara.

“Ia untuk memastikan keselamatan pemain dan dalam masa sama mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Hamidin menegaskan FAM akan memastikan kawalan keselamatan terhadap barisan pemain kebangsaan dipertingkatkan sepanjang tugasan rasmi bersama skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, kawalan keselamatan itu merangkumi ketika di kem latihan pusat dan perjalanan sewaktu hari perlawanan di dalam mahupun luar negara.

Hamidin bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi termasuk kemungkinan terdapat unsur penglibatan sindiket bookie mengatur perlawanan dalam insiden tersebut.

“Saya tidak pasti adakah ia secara kebetulan ataupun terancang. Perkara ini di luar pengetahuan saya. Saya kesal dengan apa yang berlaku,” kata Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh enggan mengambil tindakan terburu-buru untuk berjumpa dengan pihak berwajib bagi menyekat akaun media sosial tertentu yang mungkin menjadi penyemai kebencian dalam kalangan peminat sukan di negara ini.

Hannah Yeoh ketika ditemu ramah selepas Program Klinik Bola Sepak bersama Komuniti Orang Asli Kuala Kubu Bharu dan Jelajah Promosi Rakan Muda@Hulu Selangor di Kampung Orang Asli Peretak, pada Selasa. Foto Bernama
Hannah Yeoh ketika ditemu ramah selepas Program Klinik Bola Sepak bersama Komuniti Orang Asli Kuala Kubu Bharu dan Jelajah Promosi Rakan Muda@Hulu Selangor di Kampung Orang Asli Peretak, pada Selasa. Foto Bernama

Beliau berkata, tidak adil untuk menyekat mana-mana laman sosial yang didakwa menjadi punca Faisal diperlaku sebegitu tanpa mengetahui punca jenayah terlebih dahulu.

“Sukan adalah satu bidang melibatkan banyak passion (keghairahan dan semangat) dan adat menang kalah memang perkara biasa. Saya juga melihat sewaktu isu keadaan padang (Stadium Nasional Bukit Jalil) di mana Datuk Hans Isaac menerima ugutan dalam talian.

“Jadi, bagi saya biarlah polis menyelesaikan siasatan mereka dan kita tidak mahu mengekang kebebasan dalam media sosial kerana itu tidak adil buat peminat sukan,” katanya.

Hannah turut memberi jaminan Faisal akan mendapat rawatan terbaik termasuk fisioterapi secara percuma di Institut Sukan Negara (ISN) sebagai menghargai jasa pemain itu kepada negara.

Terdahulu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli tidak menolak kemungkinan kejadian yang menimpa Faisal ada kaitan rasa benci melampau akibat terpengaruh dengan akaun-akaun media sosial berkaitan sukan bola sepak negara.

“Ini kebencian tahap melampau. Walau apa pun sebabnya ia sangat merbahaya dan tidak sepatutnya sukan dicemari insiden seperti ini. Jangan nanti sampai membawa kepada insiden membunuh ahli sukan seperti yang berlaku di Colombia dulu.

“Semoga kes ini dapat diselesaikan dan polis dapat membongkar motif atau sebab musabab sebenar, kelogikannya, pelaku bersendiriankah atau diupah, siapa pengupahnya dan lain-lain. Kita harap kes ini dapat diselesaikan segera untuk menutup segala kebimbangan,” katanya dipetik Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!