VOKALIS anggota kumpulan rock XPDC, Ali berkata, peminat yang mengikuti perkembangan mereka pasti kenal kumpulan XPDC mana satu yang akan buat persembahan di konsert Metal Return 1.0 yang bakal berlangsung pada 15 Disember depan di Stadium Ipoh, Perak, pukul 8.30 malam.

Tambah Ali, kumpulannya terdiri daripada Izo (gitaris), Eddie (bes), Ariff (gitaris), dan Lola (dram).

"Insya-ALLAH semoga semuanya berjalan dengan lancar dan XPDC pun sudah bersedia," ujarnya ringkas.

Membuka sejarah lalu, XPDC asal dianggotai Mael, Izo, Man Tobey dan Yazid berpecah kepada dua versi.

Sementara itu, Mus (May) teruja menantikan hari itu nanti dan menyifatkan perkara itu sebagai balik kampung.

"May dengan XPDC pun dah lama tak berkongsi pentas, kali terakhir sewaktu di Pasir Gudang beberapa tahun lalu.

"Jadi kami harap peminat-peminat masing-masing dapat hadir saksikan persembahan kami.

"Ramai juga peminat dan rakan kenalan di Perak menantikan konsert kami, jadi ini boleh juga dikatakan come back di halaman desa," katanya.

Manakala selaku penganjur, Nithianandan. M, 44, berkata, konsert Metal Return 1.0 ini akan menjadi acara tahunan.

"Kita harap sambutan menggalakkan dan kemungkinan besar projek ini akan diteruskan tahun demi tahun ke serata negeri di Malaysia," ucapnya.