JIKA diselak kembali, Syura Badron bukan sahaja menyertai pertandingan realiti, Gegar Vaganza 4 (GV4) yang membawa kejayaan sehingga ke peringkat separuh akhir.

Namun, penyanyi berusia 31 tahun ini juga pernah mencuba nasib melalui penyertaannya dalam program realiti Indonesia, D'Academy Asia musim kedua, tahun lalu.

"Tujuan saya masuk ke pertandingan seperti itu hanyalah untuk menimba pengalaman.

"Lagi pula, sedari awal menyanyi, saya tak pernah mengikut sebarang kelas vokal dan cikgu saya hanyalah bersandarkan radio.

"Memang bakat menyanyi itu anugerah dari Tuhan, tapi tak salah salah rasanya kalau kita asah lagi bakat tersebut.

"Tapi, saya pun hanya berkesempatan belajar vokal hanya di GV4 dan tidak di D'Academy Asia," katanya pada Sinar Harian.

Menjadikan kedua-dua program itu sebagai platform, pelantun lagu Nazam Berkasih ini menyimpan hasrat untuk membuat kemunculan semula dalam radar industri hiburan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perancangan terperinci perlu dilakukan agar segalanya berjalan lancar.

"Kalau ditanya, saya sentiasa inginkan peluang untuk menyanyi lagi.

"Tapi, semua itu perlu difikirkan dengan lebih teliti lagi terutama dalam soal konsep dan pengurusan," katanya pada Sinar Harian.

Ini kerana, penyanyi lagu Bakawali ini pernah kecewa dengan penerimaan dua single terbarunya, Gantung dan Ajari Aku Cinta, dua tahun lalu.

"Saya pernah buat comeback selepas menyertai MasterChef Selebriti.

"Secara peribadinya, saya rasa dua lagu tersebut mempunyai potensi tersendiri namun malangnya ia tiada rezeki.

"Jadi, saya kena lebih berhati-hati kalau nak hasilkan single terbaru. Mungkin saya perlu survey apa yang pendengar mahukan sekarang," katanya.

Pun begitu, penyanyi lagu Candak ini juga sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan single berkonsepkan rock etnik, pada masa depan.

"Apa yang saya lihat dalam industri, lagu-lagu rock leleh dah kembali semula, jadi saya rasa tak mustahil irama Malaysia juga akan bersinar semula.

"Sekurang-kurangnya, apabila diselitkan dengan konsep rock, ia sekali gus dapat tarik golongan muda untuk mendengar.

"Tapi, saya tahu untuk merealisasikannya ia perlukan keberanian yang sangat tinggi," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :