SEBUAH karya yang dinantikan filem Munafik 2 bakal menemui penonton pada Ogos depan.

Berita itu diumumkan sendiri oleh pengarah terkenal iaitu Syamsul Yusof di akaun Instagram miliknya dengan memuat naik poster filem tersebut.

"Dengan Nama ALLAH, Munafik 2 Official Poster. Di Pawagam 30 Ogos 2018. #Munafik2 #Fisabilillah #Malaysia #Indonesia #Brunei #Singapore .

InshaAllah Official Trailer next week," tulis Syamsul.

Sejak ia dikongsi, rata-rata pengguna IG dan pengikut Syamsul memberikan respon yang positif dan memberangsangkan.

Kelihatan rakan artis turut membanjiri memberikan komen sokongan terhadap hasil sentuhannya yang bakal menemui penonton pada 30 Ogos depan.

Ternyata sambutan dan sokongan hebat ini dapat dibuktikan apabila poster itu mendapat 'love' hampir 79 ribu dan 4,300 komen daripada pengguna IG setakat artikel ini ditulis.

Menerusi satu laporan media berlainan, Syamsul berkata filem kedua Munafik ini bukanlah semata-mata seram namun lebih banyak elemen unsur dakwah dan Islamik.

Filem terbitan Skop Productions itu menampilkan Syamsul sebagai pelakon utama bersama barisan pelakon hebat lain seperti Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Sementara itu, lagu tema bagi filem itu dinyanyikan oleh Syamsul bersama Mawi berjudul Kerana Dunia hasil ciptaan Syamsul dan lirik ditulis bersama sepupunya, Anwar Faizal.