TRAILER filem ‘Captain Marvel’ terbitan Marvel Studios telah dilancarkan di YouTube pada 18 September 2018 yang lalu.

Meskipun baru sahaja dilancarkan, tontonan trailer filem itu telah pun mencecah 30 juta tontonan!

Memetik laporan Astro Awani, pada hari yang sama juga, poster rasmi filem tersebut telah tular di media sosial dan jika dilihat dengan mata kasar ianya kelihatan seperti poster filem superhero yang biasa tetapi sebenarnya tidak.

Ada sedikit 'easter egg' yang ditinggalkan Marvel dalam poster filem ‘Captain Marvel’.

Punggung seekor kucing ada di dalam poster?

Ya, anda tidak salah baca. Jika dilihat poster filem ‘Captain Marvel’ pada bahagian bawah kiri, anda akan dapat lihat punggung dan kaki seekor kucing gebu, termasuk ekornya. Cuba lihat poster ini sekali lagi dengan teliti.

Siapa kucing itu?

Sebenarnya ia bukanlah seekor kucing tetapi makhluk asing yang menyamar menjadi seekor kucing untuk menemani Carol Danvers/Captain Marvel ketika menjelajah ke angkasa lepas dan menjadi haiwan peliharaannya. Nama yang diberi kepada kucing tersebut ialah adalah Chewie, kerana kucing itu mengingatkannya kepada watak Chewbacca dari Star Wars.

Rocket Raccoon hampir membunuh Chewie tetapi dihalang oleh Captain Marvel. - Marvel Comics

Chewie diperkenal pada tahun 2006 di dalam komik Marvel Giant Size Ms.Marvel edisi 1. Tetapi, jangan terpedaya dengan kecomelan Chewie kerana sebenarnya Chewie adalah makhluk asing yang dikenali sebagai Flerken.

Flerken adalah sejenis makhluk asing yang mempunyai kuasa yang dahsyat dan sangat kuat tetapi rupanya menyerupai seekor kucing. Dalam komik Marvel, Rocket Raccoon juga hampir membunuh Chewie kerana Chewie adalah Flerken dan ia sangat merbahaya.

Captain Marvel adalah watak yang sangat penting kerana beliau dikatakan mampu membantu Avengers untuk membunuh Thanos.

Filem 'Captain Marvel' yang menampikan Brie Larson sebagai Carol Danvers/Captain Marvel dijadualkan ditayang pada bulan Mac 2019.