DENGAN sekali lafaz, penyanyi Shila Amzah sah bergelar isteri.

Majlis pernikahan bertemakan ‘pure forest garden featuring bohemian wood’ itu berlangsung di kediaman Shila di Cheras sekitar jam 6 petang hari ini.

Shila, atau nama sebenarnya, Nurshahila Amzah selamat diijabkabulkan dengan Haris Idraki Elias berwalikan bapa Shila sendiri, Amir Amzah Salleh.

Akad nikah disaksikan Ustaz Helmi Saadon dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Shila menerima mas kahwin RM888 daripada pihak lelaki namun jumlah hantaran yang dipersetujui keluarga tidak didedahkan.

Shila tampil bergaya dengan busana yang diilhamnya sendiri.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran 400 tetamu termasuk keluarga dan rakan-rakan terdekat dua mempelai ini.

Majlis resepsi Shila dan Haris akan diadakan pada 22 April ini di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya.

Terdahulu, Shila dan Haris mengikat tali pertunangan pada 3 November lalu.