TANGGAL 8 September ini akan menjadi detik bersejarah buat Raqib Majid dan Tasha Manshahar apabila kedua-dua penyanyi itu bakal disatukan sebagai suami isteri selepas dua tahun menjalin hubungan cinta.

Memetik laporan Awani, Raqib yang kini bergelar penyampai radio Zayan berkata, dia bukan mahu berahsia namun memilih untuk tidak menghebohkan tentang percintaan mereka selagi belum mempunyai perancangan untuk berkahwin.

"Sebenarnya perkenalan kami bermula ketika dia menghadiri kelas agama dan membaca al-Quran ibu saya di Melaka. Sejak itu saya mula terpikat dengan sifatnya yang baik hati dan dia juga disenangi kedua ibu bapa saya.

"Alhamdulilah selepas dua tahun ia dipermudahkan dan harap segalanya berjalan lancar sehingga kami selamat diijabkabulkan," katanya.

Menyentuh mengenai pernikahannya, Raqib akui berasa agak gementar untuk bergelar suami

"Saya akui berdebar menanti saat diijabkabulkan. Tanggungjawab sebagai suami sangat besar dan saya harap ia dipermudahkan," ujarnya.

Raqib, 28, dan Tasha, 26, mengikat tali pertunangan 24 Disember lalu.