PEMODENAN dan kecanggihan teknologi masa kini memberi peluang dan ruang buat ilmuwan agama mendekati masyarakat untuk menyampaikan dakwah menerusi media sosial.

Bukan itu sahaja, jika dahulu stesen TV sibuk mencari mereka yang berbakat dalam dunia seni, kini mereka yang mempunyai latar belakang agama dan juga dicungkil bakatnya menerusi program realiti program realiti Islamik.

Namun di sebalik hadir ramainya mereka yang pakar mengenai agama ini, ramai juga yang mempertikaikan tugas-tugas pendakwah muda yang lahir dari program Pencetus Ummah, Daie dan juga Imam Muda ini.

Sesetengah netizen melihat mereka ini ibarat mi segera yang tidak berkhasiat di dalam masyarakat.

Bagi Pakar Motivasi yang juga Juara Pencetus Ummah musim kedua, Azman Syah Alias, 37, dia menghormati setiap pendapat yang dilontarkan pihak lain.

Biarpun terguris dengan pendapat yang dikeluarkan, namun dia memilih untuk tidak menambah kekeruhan agar golongan pendakwah yang lahir daripada program realiti sepertinya tidak terus dipersalahkan.

"Saya tidak nafikan, ada sesetengah orang melihat, golongan ilmuwan agama ini perlu hadir berlatar belakang sekolah pondok, ada pengalaman belajar agama yang banyak atau mereka yang tidak terlalu menonjol di kaca TV.

"Namun zaman kini sudah berubah, Nabi tidak pernah menafikan kemodenan, Islam tak pernah menafikan teknologi.

"Tidak bermakna hanya kerana pendakwah ini lahir daripada program realiti, maka dia tidak layak untuk menyampaikan dakwah pada orang lain.

"Biasanya bila orang DM (direct message) saya di Instagram, maki saya, saya akan balas dengan cara baik dan akhirnya mereka berbaik dengan saya.

"Tapi tidak bermakna kawan saya yang menggunakan cara lantang itu dikira salah. Setiap orang ada cara berbeza, begitu juga dengan saya.

"Masyarakat perlu ingat, kami ini juga masih berguru dan di sebalik anda lihat hebatnya seorang pendakwah itu, ada guru yang lebih hebat yang menjadi rujukan mereka. Cuma bezanya guru mereka tidak popular di mata masyarakat, tapi popular di kalangan ilmuwan agama," katanya yang merupakan graduan dalam jurusan Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Hidayah dari ALLAH

Tambah figura yang turut dikenali dengan panggilan PU Azman ini, cabaran lain dalam berdakwah masa kini adalah pandangan orang terhadap pendakwah.

"Bila yang lantang, mereka kata terlampau lantang. Bila lembut, mereka kata kami tak buat kerja.

"Tapi perlu diingat, sesungguhnya kita boleh memberi hidayah pada orang, tapi hidayah itu datang dari ALLAH SWT.

"Konsepnya sebagai pendakwah, adakah saya gagal bila bagi nasihat dan dia tak ikut? Jawapannya tidak.

"Kejayaan dakwah bukan diukur pada orang itu ikut atau tidak, tapi pendakwah itu perlu tak berputus asa untuk terus berdakwah.

"ALLAH SWT juga beri pahala berdasarkan kerja dan bukan hasilnya. Itulah yang saya pegang bila berdakwah," jelasnya.

Ditanya adakah dia melihat populariti penting dalam usaha dakwah masa kini, anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan ini tidak menafikan perkara itu.

"Tidak dinafikan populariti adalah benda yang penting pada masa sekarang, malah saya rasa kalau zaman Nabi dulu sudah ada media sosial, mungkin ramai yang sign in.

"Malah kalau kita tengok sekarang, tak perlu di bandar, cukup di kawasan kampung, kalau jemaah masjid dimaklumkan ada ustaz nak datang ke majlis ilmu, mereka akan tanya, terkenal ke tidak?

"Kalau terkenal, ada gelak-gelak baru datang. Kalau tak terkenal, tak datang. Bukan ke kalau majlis ilmu kena datang sahaja?

"Itu persepsi yang kita perlu ubah sebab sepatutnya majlis ilmu tak perlu ambil kira ustaz itu terkenal atau tidak.

"Jadi kalau nak tolak populariti pun tak boleh sebab itu persepsi orang kita juga sekarang," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, PU Azman turut dilantik menjadi duta ubat gigi AuraWhite Kayu Sugi Premium dan bakal tampil dengan drama Lelaki Kiriman Tuhan bersama Remy Ishak dan Mira Filzah, tidak lama lagi.