PEPATAH 'sudah jatuh ditimpa tangga' barang kali sesuai untuk mengambarkan situasi yang dialami oleh pelakon dan penyanyi, Sherry Ibrahim.

Pejabatnya dimasuki pencuri dua minggu lalu sehingga kehilangan lapan buah telefon bimbit, terbaharu, tiga kotak tudung dari 21 kotak jenama Sherry Scarves pula hilang.

Menurut selebriti berusia 34 tahun ini menerusi Instagramnya, setiap satu kotak mengandungi 104 helai tudung Sherry Scarves dan kotak yang tinggal pula dalam keadaan basah.

"Jumlah kerugian yang dialami adalah sebanyak RM35,000 (jumlah scarves sebanyak 312 helai)," katanya yang turut memuat naik laporan polis yang dibuat Balai Polis Bukit Puchong, pada kira-kira pukul 3.30 petang Khamis.

Pelakon Syurga Yang Kedua ini mengakui sedih namun reda dengan dugaan yang menimpa dan menganggap ia sebagai dugaan mencari rezeki yang halal.

"Tak apa, ini adalah dugaan untuk Sherry dan team Sherry Scarves .

“Tak semua orang sanggup nak susah untuk mencari rezeki yang halal. Mungkin itu cara segelintir orang untuk hidup senang.

"Sedih memang sedih, tapi saya akan pastikan stok mencukupi. Saya percaya setiap yan berlaku pasti ada hikmahnya.

"ALLAH SWT sayang kita bila dia sentiasa uji kita,” ujarnya.

Pada 14 Mei lalu, pejabat jualan dalam talian Sherry Scarves dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab.