• Harun nasihat Achey supaya tidak lalai dengan pujian. - Foto ihsan TV3 Harun nasihat Achey supaya tidak lalai dengan pujian. - Foto ihsan TV3
1 /

JAUH meninggalkan peserta yang lain dalam persaingan pertama Kumpulan A, Bintang Mencari Bintang, tidak menjadikan alasan untuk anak didik Harun Salim Bachik, Achey mendabik dada.

Sentiasa meletakkan diri di bawah menjadi formula rahsia anak muda asal Johor ini dalam meneruskan perjuangannya di pentas TV3 itu.

Ditemui selepas tirai Bintang Mencari Bintang pusingan pertama dilabuhkan, Achey kelihatan berdebar dan berpeluh ketika ditemu bual pemberita buat pertama kali.

Dalam persembahannya, Achey, 27, menyampaikan lagu ‘Kau Pergi Tanpa Pesan’ dengan aksinya yang tersendiri di samping menyelitkan komedi yang bersahaja ketika menyampaikan lagu tersebut yang sudah diubah liriknya.

Mengulas mengenai pencapaiannya malam tadi yang menerima pujian juri profesional, AR Badul dan Fauziah Ahmad Daud serta digelar penghibur oleh pencipta lagu terkenal, Ajai, Achey akui takut dengan pujian yang diberikan.

“Pada saya pujian ini satu beban juga sebenarnya. Tapi saya sentiasa meletakkan diri saya di bawah.

“Apabila saya meletakkan diri saya di bawah, saya akan rasakan ada orang yang lebih, jadi, saya akan beri saingan yang lebih. Saya akan buat begitu setiap kali berdepan persaingan dalam apa jua keadaan,” katanya kepada Sinar Harian Online, malam tadi.

Idea sketsa terbit daripada pengalamannya sendiri di mana musibah menimpa keluarganya pada tahun 2008 sehingga menyebabkan rumah mereka terbakar.

“Tercetusnya idea ini daripada pengalaman saya sendiri. Dahi saya pun luas, jadi, dari situlah timbul idea duit.

“Yang kedua, rumah terbakar kan? Tahun 2008, keluarga saya ditimpa musibah, rumah terbakar. Jadi, saya ambil kejadian itu juga sebagai idea,” katanya.

Achey akui pelawak terkenal, Harun Salim Bachik yang juga merupakan mentornya dalam program realiti ini sebagai seorang guru yang profesional.

“Saya nak menggambarkan Abang Harun sebagai guru yang profesional. Dia membiarkan saya memberi idea. Dia hanya membuang mana yang tak elok dan tambah apa yang patut. Dia tak akan tolak idea saya bulat-bulat,” katanya.

Sementara itu, Harun Salim Bachik mahu agar Achey tidak terlalu teruja dengan pujian yang diberikan ke atas pencapaiannya setakat ini kerana masih terlalu awal.

“Bagi saya itu (digelar penghibur) satu kepercayaan bagi Achey tetapi saya tak nak dia terlalu khayal sebab perjalanan masih jauh lagi, ini baru minggu pertama persaingan.

“Jadi, saya harap Achey tidak teruja sangat dengan pujian-pujian. Dia seharusnya lebih fokus untuk jadi lebih baik. Apabila sudah dipuji begitu, kita bimbang... untuk kekalkan apa yang kita dapat sekarang bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Harun juga menasihatkan agar Achey tidak lalai apabila sudah berada di puncak berbanding yang lain.

“Kita harus berjaga-jagalah dengan diri kita agar kita tidak lalai, tidak terlalu selesa dengan apa yang ada sekarang ini.

“Kita perlu lebih fokus untuk memantapkan persembahan kita ke tahap yang lebih bagus lagi. Setiap minggu mesti ada peningkatan,” katanya.

Bertindak sebagai pembimbing membuatkan Harun menghormati setiap idea yang diutarakan Achey.

“Saya hanya bertanggungjawab untuk bimbing dia. Agak-agak mana yang terlebih sangat, saya minta dia turunkan, dan jika ia agak lemah, saya akan minta dia tingkatkan.

“Apa yang dia lakukan tadi (malam tadi) adalah satu persembahan yang baik dan saya percaya, dia boleh pergi lebih daripada apa yang dipersembahkan,” katanya.

Enam peserta dari Kumpulan B pula bakal bersaing minggu ini di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.