PENYANYI, Edaman memberitahu dia terkejut apabila melihat cover single terbaharu Syamel hampir sama dengan miliknya.

Menurut Edaman ketika dihubungi Sinar Harian, dia terlebih awal sudah menyiapkan cover itu, cuma menunggu masa yang sesuai untuk dikeluarkan.

"Cover itu mungkin tak disengajakan sama sebab saya dah photoshoot cover single terbaharu berjudul Peluru lebih awal daripada Syamel.

"Namun, ia dijangka sedikit lewat untuk dikeluarkan.

"Mula-mula saya memang terkejut tetapi saya positif sebab kebetulan tambahan Syamel juga kawan saya," ujarnya profesional.

Ditanya kenapa tidak ditukar sahaja cover singlenya itu, Edaman tetap dengan pendiriannya.

"Saya terpaksa keluarkan juga walaupun sama," katanya ringkas.

Terus diajukan soalan apakah maksud disebalik cover Peluru itu, katanya tangan-tangan itu diibaratkan seperti kaum wanita.

"Manakala lagu ini sendiri mengisahkan seorang lelaki yang ditinggalkan kekasihnya ataupun sudah tiada dan berharap perempuan itu kembali kepadanya," jelasnya berharap lagu ini lekat dihati pendengar.

Untuk rekod, lagu tersebut sudah dikeluarkan pada 9 September lalu dan ia merupakan hasil bersama Ewal sebagai komposer dan Edaman sebagai penulis lirik.