SELEPAS sedekad berlalu, Ayat-Ayat Cinta kembali menemui penonton dengan sekuel terbaru, Ayat-Ayat Cinta 2 (AAC2).

Selain mengekalkan tema poligami, AAC2 turut mengetengahkan isu dunia yang lebih berat iaitu Islamofobia.

Mengakui sukar merealisasikannya, penulis novelnya, Habiburrahman El Shirazy terpaksa melakukan solat istikharah dalam mendapatkan idea agar karya yang terhasil lebih hebat.

“Awalnya, saya tiada niat untuk membuat kesinambungan kisah ini. Tapi, ramai peminat yang tertanya-tanya apakah kesudahan Fahri dan isteri-isterinya. Itu yang membuatkan saya terpanggil untuk menulis. Tapi, ia bukan mudah terutama dalam mencari bahan.

“Saya anggap ia seperti memasak makanan dan perlu menghasilkan resipi yang lebih baik bagi memastikan makanan itu sedap,” katanya kepada media ketika ditemui pada malam gala filem berkenaan.

AAC2 juga mengekalkan Fedi Nuril sebagai Fahri namun tiada lagi kelibat Rianti Cartwright (Aisha), Carissa Putri (Maria) dan Zaskia Adya Mecca (Noura).

Kali ini, Dewi Sandra pula dipertanggungjawabkan menggalas watak Aisha atau Sabina malah terdapat karakter baru yang diisi melalui penampilan Tatjana Saphira dan Chelsea Islan dan Guntur Soehardjanto yang mengambil alih tanggungjawab Hanung Bramantyo selaku pengarah.

Tidak hanya itu, filem ini turut menampilkan dua pelakon hebat dari Malaysia iaitu Bront Palarae dan Nur Fazura.

Penerbitnya, Manoj Punjabi berkata, kehadiran Bront dan Fazura melalui watak Baruch dan Brenda adalah sebagai daya penarik terutama buat penonton di Malaysia.

“Kita tahu dua-dua pelakon ini sangat bagus dan berbakat besar. Saya sangat berpuas hati dengan hasilnya bahkan kemunculan mereka juga membantu menambahkan warna dalam filem ini.

“Ia akan buat kita rasa lebih dekat dengan penonton di sini,” katanya.

Pun begitu, Manoj tetap optimis AAC2 bakal mengulangi kejayaan sama seperti 10 tahun lalu.

“Saya percaya filem ini mampu menarik perhatian penonton yang mahukan filem bercorak sedemikian di pasaran.

“Lagipun, jenama AAC sangat kuat dan melekat di hati peminat. Ramai yang ternanti kesudahan kisah Fahri dan Aisha,” katanya yang sangat mementingkan kepuasan penonton dalam berkarya.

AAC2 mengisahkan Fahri Abdullah (Fedi Nuril) yang hidup keseorangan di Edinburgh bersama pembantunya, Hulusi (Pandji Pragiwaksono).

Fahri kehilangan isterinya, Aisha (Dewi Sandra) sewaktu menjadi sukarelawan di Gaza. Semenjak isterinya hilang tanpa dapat dikesan, Fahri hidup dalam kesedihan dan sering melakukan kesilapan yang membahayakan dirinya.

Kehidupannya menjadi semakin rumit dengan kehadiran saudara Aisha iaitu Hulya (Tatjana Saphira) yang dalam diam turut menyimpan perasaan terhadap Fahri.

Mampukah Fahri teguh pada cintanya yang agung terhadap Aisha atau membuka hatinya untuk menerima cinta agung yang baru? Jangan lupa saksikannya di pawagam bermula 11 Januari lalu.