MULA terlibat dalam dunia penulisan novel sejak pertengahan 90-an, novelis thriller nombor satu ini tidak pernah meletakkan sasaran untuk mengembangkan karya-karyanya ke layar perak.

Namun, pertemuan di antara Ramlee Awang Murshid bersama Abid Kamal Che Ismail, membawa sinar baharu dalam kolaborasi hebat sehingga tertubuhnya Layar Sunan Sdn Bhd.

Meskipun Layar Sunan lebih sinonim dengan nama novelis ini, di sebalik penubuhan itu, ia adalah hasil kerjasama daripada Abid Kamal selaku pengarah urusan dan penerbit, yang banyak memainkan peranan dari segi pengurusan syarikat dan produksi.

Pun begitu, bagi Abid, Layar Sunan adalah hasil kerja keras mereka berdua dan idea untuk menubuhkan syarikat berkenaan untuk mengangkat karya-karya adaptasi terutamanya novel Ramlee ke layar perak.

Berkongsi kisah di sebalik pertemuan itu, Abid memberitahu bahawa idea untuk menubuhkan syarikat produksi bermula pada 2008.

"Saya tertarik untuk menubuhkan syarikat produksi yang memberi keutamaan kepada filem-filem tempatan yang diadaptasi. Namun, ketika itu, filem adaptasi lebih kepada genre yang sama iaitu cinta.

"Saya mula bertanya golongan muda mengenai karya-karya yang menarik dan ada yang mencadangkan saya untuk membaca novel Ramlee Awang Murshid. Ketika itu saya tidak mengenali Ramlee dan tidak pernah membaca novel-novelnya.

"Ketika itu, ada yang mencadangkan saya membaca sekuel Tombiruo dan legasi Sunan. Namun, saya memilih Tombiruo. Ini adalah jawapan mengapa Tombiruo terlebih dahulu difilemkan berbanding legasi Sunan," katanya.

Tambah Abid, hasil pencariannya di kedai-kedai buku gagal menemui novel berkenaan, namun pertemuan bersama novelis, Shamsiah Mohd Nor membuahkan hasil.

"Buku itu sudah lama, jadi kebanyakan kedai buku sudah tidak menjual lagi buku berkenaan. Saya dapatkan buku berkenaan daripada Shamsiah dan mengambil masa selama seminggu untuk membacanya.

"Sejak itu, saya mula 'memburu' Ramlee dan setelah menemui laman Ramlee Awang Murshid Fanclub (RAMFC), saya cuba menghubunginya menerusi emel.

Namun, Ramlee enggan 'melayan' saya dan dia cukup berhati-hati dengan pihak produksi kerana pernah ditipu satu ketika dahulu.

"Namun, saya bersyukur kerana tidak lama selepas itu, Ramlee mula memberi maklum balas yang positif setelah merisik daripada kenalannya mengenai saya. Kami berjumpa buat kali pertama di pejabat Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun yang sama," katanya lagi.

Kekangan bajet?

Setelah masing-masing mengenali antara satu sama lain, Abid meluahkan hasrat kepada Ramlee untuk menubuhkan syarikat produksi bersama.

Katanya, hasrat itu disambut baik oleh Ramlee, namun Ramlee meminta sedikit masa untuk berfikir terlebih dahulu sebelum menyatakan persetujuan.

"Pada September 2010, kami menubuhkan Layar Sunan Sdn Bhd dan menjadi rakan kongsi. Kami memilih Tombiruo sebagai karya pertama untuk difilemkan dan Ramlee mula menghasilkan draf pertama.

"Namun, ketika itu kami berdepan dengan masalah kerana Ramlee hanya boleh menghasilkan lakon layar, namun dia tidak mempunyai kepakaran untuk mengolahnya dalam bentuk filem. Ketika itulah saya mula terfikir mengenai Nasir Jani, tambahan pula saya rapat dengannya.

"Kami mengajak Nasir bersama untuk mengarahkan filem adaptasi ini dan sepanjang tahun 2010 hingga 2012, sebulan sekali kami berjumpa untuk berbincang mengenai draf dan sebagainya. Namun, masalah kami yang seterusnya adalah bajet dan selepas 13 draf dihasilkan, kami berhenti buat seketika," jelas Abid.

Menurut Abid, mereka cuba untuk mendapatkan dana daripada kerajaan ketika itu, namun gagal kerana latar belakang syarikat yang masih baharu.

"Pun begitu, pada Jun 2013, Ramlee memberitahu bahawa pihak Astro menyatakan hasrat untuk mengangkat karyanya ke layar perak dan peluang itu tidak harus disia-siakan.

"Perbincangan demi perbincangan yang berlangsung selama sembilan bulan itu membawa kejayaan apabila pada Mac 2014, kami mendapat persetujuan rasmi dalam projek ini. Ketika itu, tiga badan bersetuju untuk melabur termasuk Alaf 21, Ideate Media dan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec).

"Selepas kata persetujuan itu dicapai, kami memulakan kembali proses penghasilan draf yang terhenti pada tahun lalu," katanya.

Lakon layar hampir siap

Setelah lebih setahun melalui proses pembikinan lakon layar, Abid memberitahu bahawa peringkat ini akan berakhir tidak lama lagi.

Katanya, setelah meneliti hasil-hasil perbincangan yang diadakan, lebih kurang tiga hingga empat minggu lagi, proses itu akan siap sepenuhnya.

"Alhamdulillah, saya mengharapkan yang terbaik untuk filem ini dan walaupun mengambil masa  agak lama, namun kepuasan setiap pihak adalah perkara yang paling utama.

"Selepas ini, Insya-Allah kami akan ke peringkat seterusnya termasuk pembahagian tugas untuk produksi, pemilihan lokasi dan pelakon menerusi uji bakat serta penggambaran," katanya.

Sebelum ini, Ramlee pernah memberitahu bahawa tugas untuk memilih pelakon menerusi uji bakat akan diserahkan kepada Nasir Jani sendiri.

"Walaupun saya turut serta dalam pembikinan filem ini, namun mata Nasir adalah mata pengarah dan dia lebih tahu pemilihan pelakon yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan," kata Ramlee.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SELEPAS mempertaruhkan beberapa telefilem yang sarat konflik dan air mata, pengarah hebat, Shuhaimi Lua Abdullah kembali dengan sebuah karya yang lebih santai dan mencuit hati menerusi syarikat produksinya, Tanah Beris Film Production Sdn Bhd.
  • FESTIVAL Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 3 November di Roppongi Theatre dan teater yang lain di Tokyo, menjanjikan satu temasya yang hebat dan menarik untuk industri filem dunia.
  • MOTHER! Sebuah filem penuh metafora dan simbolik dengan pelbagai persoalan daripada awal sehingga ke hujung ceritanya.
  • SELEPAS sukses dengan Kingsman: The Secret Service, filem aksi spy arahan Matthew Vaughn ini muncul dengan sekuel terbarunya, Kingsman The Golden Circle yang menjadi antara filem paling dinanti tahun ini.
  • SELEPAS sekian lama menanti, penulis thriller nombor satu, Ramlee Awang Murshid mengakui berdebar menunggu tayangan filem adaptasi novelnya, Tombiruo: Penunggu Rimba.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.