SEBAGAI usaha memulihara dan mengekalkan kesenian tradisional negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi Program Perantisan JKKN terus menyusun pelbagai agenda bagi memperkenalkan seni teater dan tarian kepada generasi muda sekali gus mempertahankannya daripada pupus.

Sehubungan itu, sempena pembukaan tirai siri Panggung Seni Tradisional 2015 (PST2015), JKKN mempersembahkan Dondang Sayang yang dibawa khas dari Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ke Auditorium Kompleks JKKN, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada hujung Mac lalu.

Bagi pencinta seni tradisional, Dondang Sayang dikenali sebagai salah satu seni persembahan yang mengandungi unsur muzik dan nyanyian tradisional Melayu berbentuk pantun yang terkenal bagi masyarakat Melaka.

Menerusi persembahan yang berlangsung selama dua hari itu, penonton disajikan dengan pelbagai persembahan menarik yang ditampilkan daripada tiga Generasi Dondang Sayang iaitu Tokoh Dondang Sayang Melaka, Pak Abas Katan dan Halimah Daud, Generasi Muda Cik Siti Halijah Dollah dan penyanyi Dondang Sayang Cilik, Afif Fitri Azahan dan Ain Nabiha Roslaili.

Persembahan itu pula dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu Asli, Inang dan Joget Melayu Tradisional dengan setiap persembahan ditonjolkan dengan seni nyanyian dan tarian.

Lagu-lagu yang dinyanyikan adalah seperti lagu Dondang Sayang Asli, Gunung Banang, Gurau Senda, Pantun Kasih, Joget Seri Melaka dan Cenderawasih manakala tarian pula seperti Tarian Suriram, Tarian Inang Baba & Nyonya, Tarian Ding Giriding Dale, Tarian Jingle Nona, Tarian Mambu, Joget Serampang Laut dan diakhiri dengan Joget Serampang Pantai.

Menariknya, sepanjang lebih dua jam berlangsung, penonton turut diberi pendedahan mengenai negeri Melaka serta tidak kering gusi dengan keletah Bibik yang sangat menghiburkan dan memikat hati.

Berpengalaman lebih 50 tahun dalam seni persembahan Dondang Sayang, Pak Abas Katan meluahkan hasrat supaya seni warisan ini akan terus dipelihara oleh generasi muda masa kini.

Sehubungan itu, Tokoh Dondang Sayang Melaka ini turut berharap agar usaha JKKN dalam memulihara seni warisan ini turut menjadi ikutan NGO dan badan korporat lain.

“Saya berbangga apabila dapat ‘beraksi’ dalam persembahan ini. Ia bagai meraikan semula Dondang Sayang dan mengangkat martabatnya sekali gus mempopularkannya ke seluruh negara.

“Kalau boleh, biarlah tiap-tiap tahun ada NGO atau badan korporat lain melakukan persembahan seumpama ini supaya dapat memperkenalkan budaya yang hampir-hampir pupus ini,” katanya.

Tambahnya, generasi muda perlu mencuba nasib menyertai Dondang Sayang supaya ia dapat diteruskan dan diperkembangkan lagi.

“Lihat saja. penyanyi-penyanyi cilik itu bernyanyi. Mereka (generasi muda) perlu selalu mencuba mana tahu ada bakat terpendam.

“Marilah kita sama-sama terus peliharanya dan jangan meninggalkannya. Jangan lupakan budaya yang ada ini,” katanya yang turut menjadi tenaga pengajar Dondang Sayang.


Minat belajar

Biarpun baharu berusia 12 tahun, Ain Nabiha Roslaili atau lebih dikenali sebagai Bihah dapat menguasai seni persembahan Dondang Sayang dengan begitu baik.

Tidak mewarisi bakat dari sesiapa, anak jati Serkam Pantai ini mengakui mempelajarinya secara semula jadi sejak dirinya berusia lapan tahun.

“Mula-mula, saya tak tahu yang saya belajar itu adalah Dondang Sayang. Tapi, saya rasa seronok belajar daripada cikgu. Jadi, saya teruskannya sehingga ke hari ini,” katanya.

Tambahnya, dia mengambil masa selama satu hari untuk menghafal lirik lagu dan baitbait pantun di dalamnya.

“Memang mula-mula agak susah, tapi lama-lama dia jadi OK. Saya rasa bangga apabila terpilih menjadi penyanyi lagu  Dondang Sayang sebab saya sedar bukan semua orang boleh menyanyikannya,” katanya sambil tersenyum manis.


Tarian bawa jati diri Melaka

Tidak hanya nyanyian, ia turut disertakan dengan pelbagai jenis tarian dari Melaka yang sangat mengasyikkan dan menghiburkan.

Koreografernya, Mohd Zainy Haron memberitahu, setiap tarian itu sememangnya direka khas bagi menunjukkan jati diri Melaka itu sendiri.

“Setiap tarian dari Melaka adalah berasal daripada etnik yang ada di dalamnya seperti Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Serani.

“Apa yang ditonjolkan untuk dua hari ini hanyalah sebahagian. Setiap tarian yang ditampilkan itu sebagai memenuhi hajat JKKN untuk menterjemahkan semula mengenai program seni budaya Melaka kepada khalayak di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, biarpun ia kelihatan mudah, tetapi tiada siapa menyangka bahawa ini adalah satu tugasan yang sangat berat.

“Kebanyakan khalayak dari Kuala Lumpur merupakan pengkaji seni itu sendiri. Oleh itu, saya tidak boleh melakukannya secara sambil lewa malah ada sesetengah tarian tersebut belum pun kita menarikannya di luar sana.

“Contohnya, Tarian Inang Cina yang disesuaikan dengan Baba, Tarian Serampang Laut yang berasaskan ragam tari melayu dan Tarian Cetti yang sebelum ini lagunya Tamil, tapi diberikan kepada lirik Melayu,” katanya yang telah berkhidmat dengan MBMB sejak 2001 lagi.