NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangguhkan satu undian, bagi menggesa agar gencatan senjata selama 30 hari dikuatkuasakan di Syria.

Rundingan yang masuk hari kedua itu buntu selepas Rusia, sekutu kuat Syria, menuntut syarat-syarat tertentu.

UNSC telah pun membincangkan rangka ketetapan bagi mewujudkan gencatan senjata itu sejak 9 Februari lalu.

Ini bagi membolehkan kiriman bantuan dihulurkan kepada penduduk Timur Ghouta, dekat ibu kota Damsyik, yang terperangkap dalam pertempuran hebat antara kumpulan pemberontak dengan tentera kerajaan.

Kawasan itu dihujani bedilan oleh askar-askar Syria yang disokong Rusia, buat hari ke enam berturut-turut.

Ratusan penduduk terbunuh termasuk lebih 90 orang kanak-kanak.

Timur Ghouta merupakan kubu kuat terakhir pihak pemberontak di pinggir Damsyik.

Tentera Rusia dan Syria enggan berundur meskipun ada tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa. - Agensi