GENEVA - SWITZERLAND. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam melancarkan rayuan dana hampir AS$1 bilion (RM3.9 bilion) untuk pelarian Rohingya di Bangladesh sambil menekankan keperluan memfokuskan proses penghantaran pulang golongan itu secara selamat ke Myanmar.

Bantuan dana berjumlah AS$951 juta (RM3.7 bilion) itu bertujuan menyediakan keperluan asas untuk hampir sejuta pelarian Rohingya di Bangladesh termasuk hampir 700,000 yang melarikan diri daripada gelombang keganasan baharu yang tercetus pada Ogos lalu.

Ketua Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi berkata, fokus utama adalah menggerakkan bantuan keselamatan berikutan musim monsun semakin hampir yang mana puluhan ribu tinggal di kawasan terdedah banjir dan tanah runtuh.

"Proses tersebut mungkin mengambil masa yang lama sebelum pelarian Rohingya itu dapat kembali ke kampung halaman mereka di Rakhine. Saya tidak akan berhenti berjuang untuk penghantaran pulang golongan itu. Ia adalah sangat penting memperkatakan tentang hak mereka untuk pulang ke tanah air," tegasnya.

November lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju untuk memulakan proses penghantaran pulang etnik Rohingya yang secara sukarela mahu berbuat demikian.

Namun, Yangon mendakwa ia hanya sedia menerima kurang daripada 400 pelarian daripada senarai 8,000 orang yang diberikan Dhaka. - AFP